KUALA LUMPUR – Malaysia menghargai semangat kebersamaan dalam kalangan anggota ASEAN dalam membentuk persefahaman bersama menangani cabaran semasa.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia dibuktikan menerusi tindak balas pantas bersama dalam menangani tarif Amerika Syarikat (AS) dengan penubuhan Pasukan Petugas Geoekonomi ASEAN sebagai langkah perlu.
Menurut beliau, langkah tersebut bukan sekadar penyelarasan bersama tetapi untuk menunjukkan resolusi dan keyakinan.
“Atas semangat inilah Malaysia, sebagai Pengerusi tahun ini, memperjuangkan tema ‘Keterangkuman dan Kelestarian’. Ia adalah cadangan strategik dan dipacu nilai.
“Ia bercakap bukan saja kepada aspirasi kita tetapi juga kepada kewajipan kita. Ia bersandarkan pada keyakinan bahawa masa depan ASEAN mesti bergantung pada tonggak bersama iaitu pertumbuhan yang saksama, mampan dan daya tahan yang berkekalan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pembukaan pasa Sesi Plenari Sempena Sidang Kemuncak ke-46 ASEAN yang bermula hari ini.
Selesai ucapan itu, Perdana Menteri akan mempengerusikan mesyuarat bersama sembilan lagi pemimpin utama rantau Asia Tenggara itu.
Sementara itu, aturcara padat hari ini dimulakan dengan Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 (Pleno), diikuti sesi perbincangan yang menyaksikan pemimpin mengadakan perbincangan mendalam mengenai cabaran semasa, keutamaan strategik dan usaha memperkukuh perpaduan serantau.
Kemuncak acara hari ini ialah pemeteraian Deklarasi Kuala Lumpur mengenai ASEAN 2045: Masa Depan Bersama, yang menjadi penanda aras strategik dalam membentuk fasa seterusnya pembangunan Komuniti ASEAN.
Mengulas lanjut, Anwar berharap model geoekonomi ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC)-China terus memainkan peranan lebih bermakna dalam mempertahan sistem multilateralisme.
Perdana Menteri berkata, ia penting bagi membentuk masa depan yang lebih inklusif serta mampan bagi mendepani cabaran global secara kolektif.
“Dalam hal ini, kita berjaya mengadakan Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China yang pertama, menunjukkan niat baik kita dan membolehkan kita memperluaskan kerjasama serta bertindak dengan strategik lebih jelas.
“Saya percaya bahawa sidang kemuncak trilateral ini mencerminkan kejayaan dalam membentuk semula kerjasama yang selari dengan realiti masa kini,” katanya. – MalaysiaGazette
















