Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan ucapan pembukaan pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. Foto MUHAIMIN MARWAN, 26 MEI 2025

KUALA LUMPUR – Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 berjaya membuktikan kewibawaannya dalam menyelesaikan isu konflik di Myanmar apabila mengambil langkah positif dengan pembentukan Kumpulan Penasihat Tidak Rasmi.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kumpulan itu diketuai oleh bekas Perdana Menteri Thailand Dr. Thaksin Shinawatra sebelum bertemu di Brunei Darussalam yang turut dihadiri  kehadiran Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah.

“Sejak mesyuarat ketiga yang diadakan di Bangkok, kami telah dapat bergerak ke hadapan dalam usaha kami untuk penyelesaian akhirnya krisis Myanmar.

“Kami bersyukur kerana mesyuarat seterusnya akan dihoskan oleh bekas Perdana Menteri Kemboja, Samdech Hun Sen.

“Saya ingin menegaskan bahawa sepanjang proses ini, apa yang penting ia membabitkan libat urus yang tenang. Langkah ini mungkin kecil dan jambatannya mungkin rapuh tetapiseperti yang mereka katakan, dalam soal keamanan, jambatan yang rapuh pun lebih baik daripada jurang yang semakin melebar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pembukaan pada Sesi Plenari Sidang Kemuncak ASEAN Ke-46 di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Anwar mengakui perubahan geopolitik yang sedang berlaku, serta tekanan ke atas sistem perdagangan global, khususnya dengan pelaksanaan tarif unilateral Amerika Syarikat (AS), jelas menunjukkan kebangkitan ketara dasar perlindungan atau protectionism.

Perdana Menteri yang juga Pengerusi ASEAN 2025 berkata, keadaan itu menyebabkan berlakunya multilateralisme atau hubungan pelbagai hala berada di ambang perpecahan.

Namun tegas beliau, semangat kepusatan dan persaudaraan dalam kalangan negara anggota ASEAN membolehkan usaha untuk menghadapi cabaran yang timbul secara bersama.

“Perlu dinyatakan, respons awal kita dalam menangani tarif AS, dengan penubuhan Pasukan Petugas Geo-ekonomi ASEAN, merupakan langkah yang perlu, bukan sahaja untuk koordinasi, tetapi untuk menunjukkan keyakinan dan resolusi,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast