KUALA LUMPUR – Cerapan anak bulan Zulhijjah akan dijalankan serentak di 29 buah lokasi cerapan di seluruh Malaysia, esok dan hasil cerapan akan dilaporkan ke Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja sebelum diumumkan kepada rakyat.
Sehubungan itu, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menasihatkan orang ramai supaya menantikan keputusan cerapan yang dijangka diumumkan malam esok menerusi televisyen dan media sosial.
Katanya, orang ramai sepatutnya merujuk pihak berkuasa berautoriti di Malaysia untuk mengetahui tarikh sebenar Hari Raya Aidil Adha.
Kenyataan itu adalah susulan dakwaan tular di media sosial yang mengatakan tarikh Hari Raya Aidil Adha adalah pada 6 Jun 2025 sebagaimana yang dikeluarkan Pusat Astronomi Antarabangsa.
“Perkara asas yang perlu difahami ialah penentuan awal bulan dalam takwim Hijri di Malaysia adalah menggunapakai kaedah rukyah dan hisab (hitungan falak) dengan merujuk kepada syarat kenampakan anak bulan yang disebut sebagai kriteria Imkanur Rukyah (kebolehnampakan) bagi penetapan 3 bulan utama (Ramadan, Syawal dan Zulhijjah), dan kaedah hisab sahaja untuk 9 bulan-bulan lain, adapun Arab Saudi mengamalkan kaedah Umm al-Qura bagi menentukan awal bulan-bulan Hijri.
Kaedah ini mula digunakan dalam penyusunan takwim hijri di Malaysia sejak tahun 1995 lagi,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini,
Menurut kenyataan itu, bermula pada bulan Muharam 1443H, Malaysia telah mengaplikasikan syarat kenampakan yang baharu iaitu, anak bulan dianggap boleh kelihatan sekiranya berada pada kedudukan 3° tinggi daripada ufuk dan jarak lengkung antara bulan dan matahari ialah 6.4° ketika matahari terbenam hari ke-29 dalam setiap bulan Hijri.
Syarat Imkanur Rukyah itu turut dipersetujui penggunaannya oleh negara-negara MABIMS seperti Indonesia, Brunei dan Singapura. Walaupun MABIMS merujuk kepada kriteria Imkanur Rukyah yang sama, namun setiap negara mempunyai proses pensabitan kenampakan anak bulan yang tersendiri.
Oleh itu katanya, berkemungkinan akan berlakunya perbezaan dalam tarikh permulaan awal bulan tersebut.
Dalam aspek fiqh, perkara ini tertakluk kepada matlak iaitu keluasan geografi dalam mensabitkan kenampakan anak bulan yang tertentu. -MalaysiaGazette















