Video tular memaparkan insiden pergaduhan pempengaruh politik dan sekumpulan individu di Bandar Seri Coalfields, Sungai Buloh, Selangor.

KUALA LUMPUR – Tidak puas hati berhubung siaran langsung di aplikasi TikTok berkait isu politik, seorang lelaki diserang sekumpulan individu dalam kejadian di Bandar Seri Coalfields, Sungai Buloh dekat sini baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superitendan Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata, pihaknya telah mengesan dua video tular di aplikasi itu memaparkan kejadian tersebut sekitar pukul 9 malam tadi.

Katanya, susulan itu, satu laporan polis telah diterima daripada seorang lelaki berusia 47 tahun yang juga pempengaruh parti politik dan insiden tersebut berlaku di sebuah pondok pengawal Bandar Seri Coalfields.

“Punca kejadian disebabkan ketidakpuasan hati sekumpulan individu terhadap siaran langung live TikTok pengadu, antara lain menasihati mereka agar tidak bergaduh.

“Keadaan itu telah mencetuskan tindakan proaktif dan serangan fizikal terhadap pengadu di kawasan kediamannya hingga dia mengalami kesakitan di beberapa bahagian badan serta muka,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Berikutan itu, Mohd Hafiz berkata, kes terbabit sedang disiasat di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh.

“Orang ramai agar tidak menyebarkan video kejadian di media sosial bagi mengelakkan sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan polis,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian agar tampil ke mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi Pegawai Penyiasat kes, Inspektor Azraai Mohamad Amin di talian 018-969 6941. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast