KUALA LUMPUR – Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 yang sedang berlangsung ibu negara bukan sahaja menjadi medan perbincangan dasar serantau, malah memperlihatkan keupayaan infrastruktur digital Malaysia sebagai pemangkin kelancaran acara bertaraf antarabangsa.
Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA), Siraj Jalil berkata, Malaysia ketika ini bukan sekadar menjadi tuan rumah secara fizikal, tetapi turut mempamerkan kemampanan sistem komunikasi negara yang digerakkan menerusi pelaksanaan rangkaian 5G.
Jelas beliau, sepanjang sidang kemuncak itu berlangsung, lebih 1,200 pengamal media tempatan dan antarabangsa terlibat dalam peliputan acara secara masa nyata (maya).
Sehubungan itu, katanya, keperluan terhadap capaian internet berkelajuan tinggi dan stabil menjadi aspek kritikal bagi memastikan setiap detik diplomasi dirakam dan disebarkan dengan efisien.
Beliau mengambil contoh bagaimana Pusat Media Antarabangsa (IMC) yang dibuka sempena sidang kemuncak itu dilengkapi dengan kemudahan bertaraf dunia termasuk sambungan internet 5G, ruang kerja profesional, kiosk maklumat, skrin siaran langsung, bilik mesyuarat dan kafeteria.
Kemudahan itu, jelasnya, membolehkan media menghantar laporan, memuat naik bahan visual, dan berhubung dengan bilik berita luar negara secara langsung.
“Ia bukan sahaja melicinkan proses penyebaran maklumat, tetapi mencerminkan komitmen Malaysia dalam menegakkan kebebasan maklumat serta profesionalisme kewartawanan rentas sempadan,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Tambah Siraj, keseluruhan kejayaan menyediakan kemudahan capaian telekomunikasi yang pantas dan stabil itu sudah semestinya didasari oleh peranan strategik Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam memastikan kelancaran sambungan internet berkelajuan tinggi menerusi rangkaian 5G.

Jelas beliau, penyediaan liputan penuh di lokasi utama mencerminkan kesiapsiagaan Malaysia dalam menyediakan infrastruktur digital setanding negara-negara maju.
Dalam masa sama, MCMC turut mengarahkan semua syarikat telekomunikasi untuk secara proaktif menyelesaikan isu akses internet secara bulanan mengikut negeri, dengan bantuan data dalaman serta sokongan penyedia ujian kelajuan seperti Ookla.
“Pendekatan ini membolehkan pemetaan kawasan lemah liputan dan penyelesaian masalah dilakukan lebih pantas dan bersasar,” katanya.
Sementara itu, Siraj berkata, pelaksanaan 5G sepanjang Sidang Kemuncak ASEAN boleh dijadikan penanda aras kepada penganjuran acara mega lain di masa depan.
Jelasnya, ia menunjukkan keupayaan Malaysia menyediakan infrastruktur digital yang kukuh, dipercayai dan berdaya tahan.
“Kesannya bukan sahaja bersifat teknikal tetapi turut memperkukuh reputasi Malaysia sebagai destinasi mesra teknologi dan pelaburan digital,” katanya.

Tambah beliau, manfaat langsung juga turut dirasai oleh rakyat Malaysia yang mana dengan akses internet lebih pantas dan stabil, pelbagai aktiviti harian dapat dilaksanakan dengan lebih lancar sama ada pembelajaran dalam talian, kerja jarak jauh, hinggalah kepada perkhidmatan kesihatan digital.
Ujarnya, teknologi 5G juga mengubah pengalaman pengguna melalui penstriman video berkualiti tinggi, permainan digital bebas gangguan, serta pelaksanaan aplikasi realiti maya dan terimbuh.
Lebih penting, kata beliau, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) kini mempunyai peluang lebih luas untuk melonjakkan daya saing mereka melalui penggunaan teknologi digital.
“Ini bermakna, pelaburan dalam infrastruktur bukan sahaja menyokong agenda digital negara, tetapi turut menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi secara menyeluruh,” katanya.

Untuk rekod, setakat Disember 2024, liputan 5G di kawasan berpenduduk Malaysia telah mencapai 82.4 peratus menjadikan negara ini antara yang terpantas dalam pelaksanaan 5G di peringkat global.
Kadar penembusan pengguna juga melonjak kepada 53.35 peratus berbanding 24.60 peratus sebelumnya, membuktikan tahap penerimaan rakyat terhadap teknologi ini semakin meluas.
Dalam masa yang sama, inisiatif Jalinan Digital Negara (JENDELA) juga telah melebihi sasaran dengan lebih 9.03 juta premis menikmati akses kepada internet berkelajuan tinggi dan gentian optik.
Strategi itu secara jelas berjaya merapatkan jurang digital, terutamanya di kawasan luar bandar dan pedalaman.
Secara keseluruhannya, kesepaduan antara pelaksanaan strategik oleh MCMC, kejayaan JENDELA, pengurusan media yang teratur dan komitmen kerajaan dalam membina ekosistem digital inklusif menjadikan Malaysia bukan sahaja bersedia memimpin agenda ASEAN, tetapi juga memperkukuh kedudukannya sebagai hab digital serantau yang progresif dan diyakini dunia. – MalaysiaGazette
















