KUALA LUMPUR – Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Kelantan menggesa kerajaan menangguhkan pelaksanaan rasionalisasi subsidi RON95 sehingga satu kajian impak menyeluruh dibuat melibatkan semua negeri, khususnya negeri yang ekonominya masih perlahan seperti Kelantan.
Ketuanya, Datuk Kamarudin Md Nor berkata, pihaknya bimbang terhadap pelaksanaan dasar itu yang dijangka memberi kesan langsung kepada rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah dan sederhana.
Menurut beliau, dasar itu tidak wajar dilaksanakan dalam suasana ekonomi rakyat yang masih tertekan akibat peningkatan kos sara hidup, ketidaktentuan harga barangan keperluan asas serta kesan berpanjangan pasca pendemik dan banjir besar yang menjejaskan sebahagian besar penduduk di Kelantan.
“Kami turut mempersoalkan kesiapsiagaan sistem penyasaran subsidi yang dikatakan akan digunakan untuk mengelakkan ketirisan.
“Sehingga kini, tidak ada jaminan bahawa sistem tersebut benar-benar mampu mengenal pasti dan melindungi semua golongan rentan tanpa keciciran,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam, Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, kerajaan akan meneruskan proses pelaksanaan rasionalisasi RON95 pada separuh kedua tahun ini.
Bagaimanapun, buat masa ini, jelas beliau, fokus tertumpu kepada perbincangan bagi memastikan golongan yang akan menerima sokongan subsidi dikenal pasti dengan tepat.
Sementara itu, Kamarudin berkata, kerajaan juga seharusnya memberi penjelasan terperinci kepada rakyat berkenaan mekanisme subsidi bersasar dan memastikan ia benar-benar telus, berkesan dan tidak menyusahkan rakyat.
Dalam masa sama, ujarnya, semua pihak berkepentingan, termasuk kerajaan negeri dan pertubuhan masyarakat sivil perlu dilibatkan dalam sebarang proses perundingan sebelum dasar besar itu dilaksanakan.
“Bersatu Kelantan berdiri teguh bersama rakyat dan akan terus bersuara agar setiap dasar negara mengambil kira realiti kehidupan rakyat di akar umbi, bukan semata-mata demi angka dan statistik,” katanya. – MalaysiaGazette
















