KUALA LUMPUR – Pertubuhan Kebajikan Harmoni Dan Prihatin Malaysia (Harmony Prihatin Malaysia) menyasarkan untuk membantu 500 keluarga golongan asnaf yang berstatus tanpa warganegara (stateless) di Sandakan, Sabah.
Pengasasnya, Nor Hashim Abdullah berkata, sumbangan tersebut bertujuan untuk berkongsi rezeki bersama golongan kurang bernasib baik sempena kempen infaq barangan asas bernilai RM60 untuk satu keluarga.
Kempen itu melibatkan fasa kedua selepas fasa pertama berjaya membantu seramai 300 keluarga miskin pada bulan lalu.
“Kehidupan mereka sangat susah disebabkan tidak memiliki dokumen pengenalan diri di mana sukar untuk mereka bekerja apatah lagi hendak berniaga.
“Hidup mereka ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang di mana kadang-kadang mereka kehabisan beras. Itu yang kami saksi sendiri ketika menghantar sumbangan pada bulan lalu.
“Kediaman mereka pula amat menyedihkan kerana perlu melalui titi yang berlubang dan kayu yang sudah reput dan bergoyang,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Noor Hashim menambah, kediaman golongan miskin juga memiliki bumbung zink yang rendah dan menyebabkan keadaan menjadi panas pada waktu tengah hari.
Apa yang berlaku itu merupakan ujian buat untuk mereka dalam meneruskan kelangsungan hidup seharian.
“Kami berharap sumbangan set makan keperluan asas dapat mengurangkan beban hidup mereka terutama kepada kanak-kanak,” katanya.
Orang ramai yang ingin memberi sumbangan boleh menghubungi talian +60 19-241 2120 atau menyumbang di akaun Bank Islam 121130107726 Harmony Prihatin Malaysia (Ref: Sandakan). – MalaysiaGazette
















