Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR – Hubungan perdagangan antara ASEAN dan Majlis Kerjasama Teluk (GCC) terus menunjukkan perkembangan memberangsangkan apabila jumlah dagangan kedua-dua rantau itu mencecah AS$130.7 bilion pada tahun 2023.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, angka tersebut menjadikan GCC sebagai rakan dagang ketujuh terbesar ASEAN.

Ini sekaligus mencerminkan keyakinan terhadap prospek jangka panjang kerjasama ekonomi serantau.

“Pelaburan juga terus meningkat, mencerminkan keyakinan terhadap prospek jangka panjang kerjasama kita,” katanya ketika menyampaikan ucapan pembukaan Sidang Kemuncak ASEAN-GCC Kedua di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), hari ini.

Menurutnya, pencapaian itu wajar diteruskan dan diperluas, bukan sahaja dalam sektor perdagangan, malah merangkumi semua aspek kerjasama strategik.

Kerangka kerjasama ASEAN-GCC 2024–2028 yang digariskan sebelum ini telah menjadi pelan tindakan menyeluruh bagi memperdalam kerjasama merentas tiga tonggak utama hubungan dua hala.

Anwar dalam ucapannya turut mengingatkan bahawa dunia kini berada dalam fasa tidak menentu yang menuntut kerjasama lebih erat antara blok serantau.

“Kerjasama ASEAN-GCC tidak pernah sepenting ini.

“Kita sedang berhadapan landskap global yang semakin kompleks termasuk ketidaktentuan ekonomi, konflik berpanjangan dan krisis kemanusiaan yang tidak berkesudahan,” tambahnya.

Oleh itu, beliau menyeru agar sidang kemuncak ini digunakan sebagai wadah untuk menterjemahkan visi bersama kepada tindakan yang bersifat konkrit dan memberi kesan langsung kepada rakyat.

“ASEAN dan GCC mempunyai keupayaan dan tanggungjawab untuk bangkit sebagai tiang kestabilan dan enjin pertumbuhan masa depan,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast