SEPANG – Seramai 15 individu termasuk lima anggota polis ditahan kerana disyaki terlibat dengan sindiket mencuri kabel dalam satu operasi besar-besaran di sekitar Selangor.
Ketua Polis Selangor, Komisioner Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihaknya menerima maklumat hasil rondaan anggota Balai Polis Kampung Dato Abu Bakar Baginda, Kajang pada 19 Mei lalu yang menemui tiga buah kenderaan diletakkan di kawasan ladang kelapa sawit.
“Hasil pemeriksaan menemui dua lelaki di luar kawasan ladang dan enam lagi sedang membakar kabel bagi mendapatkan logam di dalamnya.
“Dua suspek sempat melarikan diri, namun enam berjaya diberkas,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.
Susulan tangkapan itu, siasatan lanjut membawa kepada penahanan tiga lagi individu keesokan harinya, 20 Mei.
“Pada 22 Mei, operasi susulan di Cheras dan Kajang membawa kepada tangkapan enam lagi suspek, termasuk lima penjawat awam yang merupakan anggota polis.
“Kesemua mereka kini direman bagi membantu siasatan,” jelasnya.
Menurut Hussein, seorang lagi suspek terakhir ditahan di Taman Sungai Besi pada 23 Mei, namun dibebaskan dengan jaminan polis kerana masalah kesihatan.
Siasatan awal mendapati, anggota polis terbabit dipercayai telah menyalurkan maklumat berkaitan operasi pihak berkuasa kepada sindiket berkenaan.
“Selain itu, dua daripada suspek yang merupakan kontraktor kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB) didapati telah mengajar ahli sindiket cara mengekstrak kabel tanpa mengaktifkan sistem penggera,” katanya.
Kesemua suspek berusia antara 23 hingga 53 tahun dan dua dalang sindiket ini mempunyai rekod jenayah lampau termasuk kes kecurian kabel.
Polis kini sedang melengkapkan kertas siasatan sebelum tindakan selanjutnya diambil terhadap semua suspek yang terlibat. – MalaysiaGazette
















