Hussein Omar Khan

SEPANG – Laporan penuh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) berhubung insiden letupan paip gas di Putra Heights dijangka siap sepenuhnya pada akhir Jun ini, kata Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan.

Menurutnya, siasatan di lokasi kejadian telah selesai dan kawasan tersebut diserahkan kepada pihak Petronas untuk kerja-kerja pemulihan dan pembaikan.

“Laporan lengkap daripada pihak polis akan dikeluarkan bersama laporan penuh JKKP yang dijangka siap menjelang akhir bulan Jun,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang, di sini hari ini.

Mengulas mengenai jentera pengorek yang tertimbus dalam letupan tersebut, Hussein menjelaskan,  ia akan dikeluarkan semasa proses pembaikan dijalankan.

Tambahnya, walaupun jentera pengorek itu bukan keutamaan dalam siasatan, ia tetap termasuk dalam skop siasatan pihak berkuasa.

“Eskavator (jentera pengorek) itu bukan keutamaan dalam siasatan kami, tetapi ia adalah objek yang tertimbus ketika letupan berlaku. Kami tidak dapat mengeluarkan spesimen daripada paip gas dan jentera itu serentak kerana bimbang struktur tanah akan runtuh.

“Kami tidak boleh abaikan terus eskavator itu dan siasatan lanjut akan dibuat. Namun pada waktu itu, keutamaan kami adalah untuk mendapatkan spesimen daripada paip,” jelasnya.

Kebakaran paip gas yang berlaku pada 1 April lalu  mengakibatkan kemusnahan yang besar.

Sebanyak 81 buah rumah dilaporkan musnah dengan lebih 40 peratus kerosakan struktur, manakala 81 lagi mengalami kerosakan separa.

Sebanyak 57 rumah turut terjejas tanpa mengalami kebakaran manakal, 218 buah rumah termasuk di Kampung Tengah, Puchong, dilaporkan tidak terjejas. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast