KUALA LUMPUR – Pemilihan PKR tidak pernah bersandarkan hubungan kekeluargaan atau pengaruh peribadi, sebaliknya berpandukan sokongan akar umbi, rekod perjuangan, serta komitmen terhadap nilai-nilai reformasi.

Exco Wanita PKR, Rosmawaty Muhamad Ros yang menepis dakwaan Ketua Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Datuk Mas Ermieyati Samsudin bahawa berlaku amalan nepotisme dalam pemilihan baru-baru ini.

“Tuduhan ini adalah tidak berasas, berniat jahat serta bersifat populis murahan yang bertujuan untuk mencemar proses demokrasi dalaman parti yang berjalan secara terbuka dan telus.

“Mas Ermieyati seharusnya menghormati amalan demokrasi dalam PKR sebuah parti yang telah lama melalui proses pemilihan secara terus oleh akar umbi sejak penubuhannya,” katanya menerusi kenyataan.

Katanya, sebagai pemimpin Wanita, Mas Ermieyati sepatutnya memperjuangkan integriti dan kematangan politik dan bukannya mengeluarkan kenyataan yang disifatkannya strategi untuk mengalihkan perhatian terhadap kegagalan pembangkang.

“Beliau sepatutnya lebih insaf dengan sejarah partinya sendiri yang dipalit dengan pelbagai bentuk pelantikan atas dasar kepentingan kelompok tertutup.

“Wanita PKR melihat kenyataan tersebut sebagai cubaan untuk mengalihkan perhatian rakyat daripada isu sebenar iaitu kegagalan pembangkang dalam menawarkan alternatif bernas kepada rakyat dan amalan politik dalaman yang semakin pincang,” katanya.

Justeru Rosmawaty menyeru semua pihak supaya menghormati proses pemilihan PKR dan tidak sewenang-wenangnya menjadikan kejayaan pemimpin tertentu sebagai bahan fitnah kononnya didorong nepotisme.

Pemilihan PKR baru-baru ini menyaksikan puteri sulung Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim iaitu Nurul Izzah menang dalam pertandingan merebut jawatan Timbalan Presiden.

Nurul Izzah yang juga bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh, memperoleh 9,803 undi menewaskan penyandang jawatan kedua tertinggi kepimpinan parti itu, Datuk Seri Rafizi Ramli yang meraih 3,866 undi.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast