KUALA LUMPUR – Pengurus Manchester United, Ruben Amorim meluahkan rasa kagum dengan sokongan padu peminat The Red Devils yang tidak pernah luntur di Malaysia.
Menurutnya, sokongan hebat para peminat kelab itu di negara ini tidak ubah sama seperti ketika mereka turun bermain di hadapan puluhan ribuan penonton di gelanggang sendiri iaitu Old Trafford.
”Saya rasakan perasaan yang sama tanpa mengira di rantau kami berada, semangat untuk kelab ini (Manchester United) amat luar biasa,” kata pengendali kelahiran Portugal itu pada sidang menjelang perlawanan menentang Asian All Stars sempena Piala Cabaran Maybank di sini hari ini.

Juara 13 kali Liga Perdana Inggeris itu akan bertemu skuad ASEAN All-Stars malam esok di Stadium Nasional Bukit Jalil yang akan dibarisi pemain berpengalaman dan muda termasuk wakil tempatan seperti Azam Azmi Murad, Adib Abdul Raop, Muhammad Haziq Nadzli, Declan Lambert dan Sergio Aguero.
Selain itu, empat pemain dari Australia juga dijangka menambah kekuatan skuad itu termasuk Adrian Segecic, Yaya Dukuly, Kealey Adamson dan Harrison Delbridge.
United yang menutup saingan saingan EPL musim 2024/2025 di tangga ke-15 tiba di KLIA petang semalam kembali ke Malaysia selepas 16 tahun dalam siri jelajah pascamusim bulan depan.
Selepas menentang pasukan ASEAN All-Stars, kelab popular ini akan berlepas ke Hong Kong untuk menentang pasukan kebangsaan negara berkenaan di Stadium Hong Kong pada 30 Mei ini.
Dua perlawanan yang dibawakan oleh Snapdragon dan dianjurkan ProEvents adalah jelajah pascamusim pertama dalam era moden kelab berkenaan serta menandakan kepulangan mereka ke Asia selepas kemenangan 4-0 ke atas Liverpool di Bangkok pada Julai 2022.
“Kali terakhir kelab ini berkunjung ke Kuala Lumpur adalah pada tahun 2009 dan ke Hong Kong pada tahun 2013, namun hubungan antara Manchester United dan jutaan peminat setia di seluruh Asia kekal utuh seperti dahulu,” katanya. – MalaysiaGazette















