Pelawak Yassin.

KUALA LUMPUR – Pelawak, Yassin Senario akhirnya mengaku di tahan di sebuah lokap di Jeddah, Arab Saudi selepas ditahan ketika mahu menunaikan umrah pada Oktober tahun lalu.

Yassin atau nama sebenarnya Yassin Yahya, 47, turut berkongsi pengalaman ngeri tidur berdiri selama lapan hari dalam keadaan lokap yang sesak memaksa dirinya berehat berdiri sebelum dibenarkan tidur di hadapan pintu tandas.

“Keadaan di lokap agak menyedihkan. Kali pertama saya tidur berdiri sebab lantai penuh. Saya akhirnya dapat juga tidur di depan pintu tandas.

“Nampak kaki orang langkah saya dalam masa lapan hari,” katanya menerusi pengakuan menerusi satu audio siar di sini.

Yassin menambah, dia kemudiannya dipindahkan ke Pusat Pentadbiran Dan Pengusiran Warga Negara Asing pada 5 November tahun lalu selepas 10 hari ditahan di balai polis.

Katanya, ketika itu, hanya panggilan daripada pihak konsulat Malaysia menjadi penyambung harapan untuk terus bertahan.

“Pihak konsulat pun sukar nak tembus. Alhamdulillah, mereka akhirnya dapat bercakap dengan saya. Kali pertama saya dapat tinggalkan voice note kepada isteri.

“Atas bantuan pihak konsulat juga, saya diberikan bercakap dengan isteri namun talian terputus-putus,” ujarnya.

Yassin berkata, dia dibicarakan secara atas talian pada 19 November lalu dan dijatuhkan hukuman enam bulan penjara atas kesalahan membawa barangan bercetak lambang larangan.

“Saya melalui perbicaraan di mahkamah secara talian. Saya jelaskan kejadian berlaku, saya bukannya penyeludup (smuggler) tetapi saya dijatuhkan hukuman selama enam bulan.

“Saya akur kesalahan. Saya beritahu isteri, ini kesalahan saya bawa barang ada lambang larangan, mungkin saya terlepas pandang. Apa pun, saya anggap ini musibah dan perjalanan hidup saya,” luahnya.

Bapa empat anak itu menegaskan pengalaman tersebut menjadi peringatan besar buat dirinya dan masyarakat agar lebih berhati-hati apabila ke luar negara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast