JOHOR BAHRU – Dua ahli sindiket pinjaman wang tanpa lesen atau along mengaku bersalah di tiga Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan khianat dengan cara menyimbah cat di kediaman dan kereta.
Tertuduh, R Sahswin, 25 dan P Yugendran, 31, membuat pengakuan tersebut selepas semua pertuduhan yang dihadapkan kepada mereka dibacakan sebelum dijatuhkan hukuman denda.
Di hadapan Majistret A Shaarmini, kedua-dua mereka dikenakan hukuman denda RM4,500 setiap seorang atau 12 bulan penjara, jika gagal membayar denda berkenaan.
Berdasarkan kertas pertuduhan, kedua-dua tertuduh didakwa melakukan khianat dengan menyimbah cat ke atas pagar rumah milik seorang individu menyebabkan kerugian bernilai lebih RM35 dan perbuatan itu didakwa dilakukan di Jalan Jenawi 8, Taman Puteri Wangsa di sini, pukul 10.57 malam, 1 Mei lalu.
Di hadapan Majistret Nabilah Nizam pula, Sahswin dikenakan hukuman denda masing-masing RM1,000 bagi dua pertuduhan menyimbah cat ke atas sebuah rumah dengan kerugian RM35 serta ke atas kereta Honda City dengan kerugian RM350.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di rumah dekat Jalan Lading 11, Taman Puteri Wangsa, Ulu Tiram, pukul 10.40 malam, 1 Mei lalu dan Jalan Tun Abdul Razak di sini pukul 12.20 tengah hari, 27 April lalu.
Yugendran pula dikenakan hukuman denda RM2,200 atau 12 bulan penjara oleh Majistret Atifah Hazimah Wahab selepas mengaku bersalah menyimbah cat merah ke atas pagar rumah seorang lelaki dengan menyebabkan kerugian RM249.37 di Jalan Hang Jebat 4, Taman Skudai Baru di sini, pukul 3.12 petang, 28 April lalu.
Bagi semua perbuatan itu, mereka berdua didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Sementara itu, di hadapan Majistret Shaarmini, Sahswin yang juga penganggur turut dihadapkan dengan satu pertuduhan melakukan ugutan jenayah dengan menyembunyikan nama terhadap seorang lelaki melalui kertas notis untuk membakar rumah.
Bagi perbuatan yang didakwa dilakukan di rumah sama di Jalan Jenawi 8, Puteri Wangsa di sini, pukul 3.20 petang, 9 Mei lalu, lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara boleh sampai dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Sahswin dibenarkan ikat jamin RM4,000 bagi kes ugutan itu dan mahkamah menetapkan 11 Jun depan untuk sebutan semula bagi serahan dokumen dan lantikan peguam.
Sahswin sekali lagi dituduh di hadapan Majistret Shaarmini dan dikenakan denda RM2,500 atau enam bulan penjara selepas mengaku salah memberikan dadah berbahaya ke dalam dirinya di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Utara, pukul 3.55 petang, 15 Mei lalu.
Yugendran pula dikenakan hukuman denda RM1,800 atau enam bulan penjara oleh Majistret Nabilah selepas mengaku bersalah memberikan dadah berbahaya ke dalam diri sendiri pada pukul 4 pagi, di tempat dan hari yang sama dengan Sahswin.
Mereka yang didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 itu turut diperintahkan untuk pengawasan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) selama dua tahun.
Pada masa sama, di hadapan Majistret Atifah Hazimah, Sahswin dan Yugendran bersama seorang lagi tertuduh, SK Kiren, 24, mengaku tidak bersalah memiliki 20.04 gram ganja di Jalan Inang 7, Taman Skudai Baru di sini, pukul 11.40 malam, 14 Mei lalu.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 6 ADB 1952 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun dan sebat sehingga sembilan sebatan, jika sabit kesalahan.
Setiap seorang dibenarkan ikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin.
Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Afiqah Musa dan Nik Noratini Nik Azman manakala peguam, V Pushparajan mewakili semua tertuduh.
Semalam, Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar dilaporkan berkata, tiga lelaki tempatan yang disyaki menjadi ahli sindiket along ditahan polis di sekitar daerah ini, 14 Mei lalu.
Katanya, ketiga-tiga lelaki itu ditahan selepas disyaki menerima upah daripada sindiket along untuk melakukan ugutan jenayah, menyimbah cat atau mengunci pintu rumah kediaman mangsa yang gagal membuat pembayaran semula pinjaman.- MalaysiaGazette
















