KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim bersetuju meluluskan permohonan cuti Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli dan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad.
Pejabat Perdana Menteri (PMO) dalam kenyataan berkata, Perdana Menteri telah menerima surat permohonan cuti dan pengunduran sebagai anggota Kabinet daripada kedua-dua mereka.
“Setelah meneliti permohonan tersebut, Perdana Menteri telah bersetuju meluluskan permohonan cuti kedua-dua menteri berkenaan.
“Sebarang keputusan lanjut terkait perkara ini akan dimaklumkan kemudian oleh Perdana Menteri,” ujarnya.
Rafizi memaklumkan beliau telah menghantar surat peletakan jawatannya kepada Perdana Menteri hari ini.
Katanya, peletakan jawatan tersebut berkuat kuasa dari 17 Jun 2025 dan bermula hari ini beliau akan menghabiskan cuti tahunan sehingga 16 Jun.
Tidak lama kemudian, Nik Nazmi juga mengumum melepaskan jawatannya sebagai menteri berkuat kuasa 4 Julai 2025 dan akan bermula cuti esok hingga 3 Julai 2025.
Beliau juga memaklumkan telah menghantar surat peletakan jawatannya kepada Anwar. – MalaysiaGazette
















