KUALA LUMPUR – Beregu lelaki profesional negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani secara rasminya bergelar pasangan nombor satu dunia selepas kedudukan ranking dikemaskini Persekutuan Badminton Dunia (BWF) hari ini.
Bekas juara Terbuka China itu memintas kedudukan Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen selepas pasangan Denmark berkenaan gagal mempertahankan gelaran pada kejohanan Malaysia Masters di Axiata Arena, Bukit Jalil minggu lalu.
Beregu yang diberi julukan DinFei itu mengikuti jejak langkah gandingan lain, termasuk Razif Sidek-Jalani Sidek, Cheah Soon Kit-Soo Beng Kiang, Choong Tan Fook-Lee Wan Wah dan Koo Kien Keat-Tan Boon Heong menjadi No.1 dunia.
Turut memperbaiki kedudukan adalah Man Wei Chong-Tee Kai Wun yang naik satu anak tangga ke kedudukan No.7 dunia selepas memenangi Malaysia Masters manakala Aaron Chia-Soh Wooi Yik kekal di tangga ketiga.
Sze Fei-Izzuddin kini dalam persiapan bagi menghadapi pusingan pertama Terbuka Singapura menentang beregu Taiwan, Lee Fang Chih-Lee Fang Jen yang dijadualkan berlangsung hari ini. – MalaysiaGazette
















