Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kota Buku (PKB), Adibah Omar ketika Sesi Pembentangan Dapatan Kajian Impak Program Pemberian Baucar Buku 2024 terhadap Pembangunan Ekonomi MADANI dan Pembangunan Masyarakat MADANI Yang Berilmu di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) hari ini.

KUALA LUMPUR– Pemberian baucar buku yang diperkenalkan kerajaan pada 30 Mei 2024 terbukti berkesan dalam melahirkan minat membaca dalam kalangan pelajar di seluruh negara, sekali gus mencetuskan gelombang baharu pembudayaan ilmu dalam masyarakat.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kota Buku (PKB), Adibah Omar berkata, kajian impak Baucar Buku 2024 oleh IDE Research Centre ke atas 711 responden seluruh negara mendapati 94.5 peratus bersetuju program itu berjaya memupuk minat membaca dalam kalangan pelajar.

Manakala 97.5 peratus responden percaya ia membantu pelajar, khususnya daripada golongan kurang berkemampuan, mendapatkan bahan bacaan berkualiti.

“Selepas tamat tempoh penebusan pada 31 Disember 2024, program ini telah mencapai kadar penebusan 100 peratus.program ini telah mencapai kadar penebusan 100 peratus. Kejayaan ini membuktikan penerima benar-benar memanfaatkan dan menghargai peluang keemasan ini.

“Secara keseluruhan, penebusan melalui platform bookcapital.my menawarkan lebih 800,000 judul melibatkan 1,000 penjual tempatan telah berjaya memacu pertumbuhan industri perbukuan nasional melalui penggunaan tenologi dan analitik data raya.

Selain itu, inisiatif ini tidak hanya memperluas akses kepada bahan bacaan malah  menyemai minat membaca serta melahirkan generasi pembaca baharu,” katanya ketika ditemui media selepas Sesi Pembentangan Dapatan Kajian Impak Program Pemberian Baucar Buku 2024 terhadap Pembangunan Ekonomi dan Pembangunan Masyarakat Madani Yang Berilmu di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) hari ini. 

Menurut beliau, program baucar buku itu turut memberi manfaat kepada pelajar kurang upaya melalui penyediaan bahan bacaan braille, sebagai bukti bahawa usaha merakyatkan ilmu ini tidak meminggirkan sesiapa.

Jelas beliau, pihaknya turut mengambil maklum beberapa kelemahan teknikal yang berlaku sepanjang pelaksanaan program, termasuk kelewatan penghantaran buku oleh penjual serta keperluan untuk menambah baik pemilihan judul.

“Dalam pelaksanaan program ini, PKB turut diberi tanggungjawab sebagai agensi pelaksana utama bagi menyelaras keseluruhan operasi penebusan baucar, pemillhan penerbit dan pengedar, serta penghantaran buku kepada lebih 3.5 juta penerima di seluruh negara.

“Bagi fasa akan datang, kita telah laksanakan penambahbaikan seperti sistem pembatalan automatik bagi pesanan yang tidak diproses dalam tempoh tertentu serta menambah judul antarabangsa daripada negara jiran seperti Singapura, Indonesia dan China bagi memenuhi cita rasa bacaan pelajar masa kini,” ujarnya. 

Di bawah inisiatif yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, murid Tahun 4 hingga Tahun 6 menerima baucar buku bernilai RM50, manakala pelajar sekolah menengah, institusi pengajian tinggi dan Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) menerima baucar bernilai RM100.- MalaysiaGazete

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast