Che Murad Sayang Ramjan

KUALA LUMPUR – Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mengarahkan sebuah taska di Taman Danau, dekat sini, menghentikan operasi.

Ketua Pengarahnya, Datuk Che Murad Sayang Ramjan berkata, ia susulan siasatan kes yang membabitkan seorang bayi lelaki berusia tujuh bulan ditemui tidak sedarkan diri sebelum meninggal dunia, 26 Mei lalu.

“Buat masa ini kerana berlaku kes kematian, taska berkenaan diarahkan untuk memberhentikan operasi sehingga siasatan selesai dijalankan,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Syahrul Anuar Abdul Wahab berkata, tiada tangkapan dibuat berhubung kes terbabit.

Bagaimanapun katanya, beberapa individu sudah diambil keterangan berhubung kes terbabit termasuk pemilik taska, pengasuh, ibu bapa bayi berkenaan serta pihak JKM bagi membantu siasatan.

“Siasatan kes itu sedang dijalankan Bahagian Seksual, Wanita dan Kanak-kanak (D11) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur dalam semua aspek termasuk unsur kecuaian,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju, di sini, hari ini.

Terdahulu, media melaporkan tersedak susu disahkan sebagai punca kematian bayi lelaki berkenaan di taska terbabit.

Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-kanak 2001. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast