KUALA LUMPUR – Kerajaan disaran mencontohi Singapura dengan mewujudkan tabung perubatan negara bagi membolehkan orang ramai memiliki pelan insurans kesihatan pada harga mampu milik.

Ketua Perkhidmatan Penjagaan Kesihatan di IA International Assistance, Dr Aneil Moorthy berkata, negara jiran itu memperkenalkan skim insurans nasional, MediShield Hayat dalam usaha membendung kos perubatan yang dijangka terus melonjak setiap tahun.

“Skim itu adalah pelan insurans asas kesihatan yang diuruskan melalui Lembaga Tabung Simpanan Pekerja (CPF) sama seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di negara kita.

“Skim ini bermatlamat untuk memberikan subsidi bagi rawatan kesihatan di sektor awam dan swasta,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada “The Healthcare Forum 2.0: Counting The Cost of Care: Can Malaysia Make Healthcare Affordable Again?” di Universiti Malaya UM di sini, hari ini.

Forum yang menampilkan panel dalam kalangan pemegang taruh industri kesihatan itu turut menjemput bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dan bekas Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Lee Boon Chye.

Panel lain adalah Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Insurans Hayat Malaysia (LIAM), Mark O’Dell; Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) Dr Thirunavukarasu Rajoo;Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Pusat Perubatan Universiti Malaya (UMMC), Prof Dr Nirmala Bhoo-Pathy.

Mengulas lanjut, Dr Aneil berkata, model tabung itu lebih terjamin bagi membolehkan semua rakyat diberi peluang sama untuk memiliki skim insurans dengan harga munasabah.

Menurutnya, Malaysia boleh mengadaptasinya dengan pesakit atau pemegang insurans hanya perlu menanggung 30 peratus daripada perbelanjaan rawatan keseluruhan, dengan 70 peratus lagi kos dibiayai penyedia insurans.

“Melalui model ini, setiap individu ada tanggungjawab terhadap rawatan kesihatan mereka dan pada masa sama, ia mampu mengurangkan beban yang sejak sekian lama ditanggung oleh sistem kesihatan awam,” katanya.

Dr Aniel turut mengesyorkan supaya Kementerian Kesihatan menilai semula struktur pembayaran bagi perkhidmatan di kesihatan awam yang disifatkan terlalu murah.

Katanya, ketika ini, untuk konsultasi di klinik pakar di hospital, pesakit hanya perlu bayar RM5 manakala bagi pesakit yang datang ke kecemasan dan pesakit luar hanya perlu bayar RM1.

“Walaupun dasar ini bertujuan membolehkan semua orang dapat akses terhadap fasiliti kesihatan awam, namun kita perlu lihat ia juga menyebabkan perkhidmatan diberikan itu kurang dihargai,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast