KUALA LUMPUR – Dua sepupu maut manakala seorang lagi cedera, selepas kenderaan yang dinaiki terbabas lalu terjatuh ke dalam gaung di Jalan Penampang-Tambunan, dekat Kampung Moyog, Sabah semalam.

Kejadian dilaporkan berlaku 8 malam tadi apabila tiga sepupu tersebut dalam perjalanan balik dari menghadiri majlis perkahwinan.

Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang, Zeno Tingalan, sembilan anggota bersama jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak 28 kilometer dari balai bomba selepas menerima panggilan mengenai kejadian berkenaan.

Katanya, pemandu kereta, Steve Oyong, 54, dan penumpang, Rayner Jentolmin @Condrad, 49, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Manakala Maxwell Minor, 29, dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut.

“Pasukan bomba menaikkan semua mangsa yang berada di gaung dengan dua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan (KKM).

“Manakala seorang lagi yang cedera dan diberi rawatan awal oleh pasukan EMRS kemudian dihantar ke hospital menggunakan ambulans,” katanya menerusi kenyataan.

Katanya, mayat kedua-dua mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 10.37 malam tadi.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast