KUALA LUMPUR – Sebuah pusat hiburan di Taman Bandar Puteri di Puchong dikesan memasang pintu besi dua lapisan dan banyak pintu rahsia dipercayai memudahkan untuk melarikan diri ketika serbuan pihak berkuasa.
Bagaimanapun, helah itu tidak berjaya apabila Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Selangor berjaya ‘mengepung’ premis berkenaan ketika serbuan dilakukan kira-kira pukul 10 malam, semalam.
Pengarah Imigresen Selangor, Khairrul Aminus Kamaruddin berkata, operasi yang membabitkan 13 pegawai dari Bahagian Perisikan dan Operasi Khas JIM Selangor diketuai Mohamed Firdaus Mohamed Abbu Bakar.
“Kami mendapati terdapat pintu besi dua lapisan dan banyak pintu rahsia di bahagian atas premis berkenaan yang menyukarkan pasukan operasi untuk masuk di tingkat atas.
“Kami mendapatkan bantuan daripada pihak Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Puchong memecahkan pintu dua lapis berkenaan yang dipercayai dikunci dari dalam.
“Sebaik pihak bomba berjaya memecahkan pintu berkenaan, pasukan serbuan berjaya membuat kepungan dan menahan semua individu di dalam premis berkenaan,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Dalam operasi itu, beliau berkata, seramai 75 individu diperiksa dengan 25 orang daripadanya ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen.
“Mereka yang ditahan terdiri daripada 11 lelaki warga Vietnam, 11 lelaki warga Laos, empat wanita Thailand serta dua lelaki warga Bangladesh.
“Kesemua warga asing yang ditahan dalam operasi itu berusia antara 17 hingga 50 tahun,” ujarnya.
Antara kesalahan yang dikenal pasti dilakukan PATI berkenaan adalah tidak memiliki pas atau permit sah serta melanggar syarat-syarat pas.
Selain tangkapan, tiga saman saksi turut dikeluarkan dalam operasi terbabit.
Tiada tangkapan membabitkan majikan dalam operasi ini tetapi satu laporan berkaitan operasi itu dibuat di Balai Polis Puchong.
“Kesemua Pati yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” katanya.
Khairrul Aminus berkata, serbuan itu adalah sebahagian daripada usaha berterusan pihak Imigresen bagi membanteras kemasukan PATI.
“Operasi seumpama ini bagi memastikan penguatkuasaan undang-undang imigresen dijalankan secara menyeluruh dan berkesan.
“Jabatan Imigresen turut menegaskan operasi sebegini akan diteruskan secara berkala di seluruh negeri ini sebagai langkah membendung aktiviti pelanggaran undang-undang oleh warga asing,” katanya. – MalaysiaGazette
















