GEORGE TOWN – Tiga lelaki warga China dan seorang wanita Vietnam direman empat hari selepas dipercayai terbabit dalam sindiket penipuan pelaburan dalam talian yang menyasarkan mangsa dalam kalangan rakyat China.
Perintah reman terhadap kesemua suspek berusia 21 hingga 34 tahun itu dikeluarkan Majistret Nadratun Naim Mohd Saidi bermula hari ini sehingga 1 Jun depan bagi membolehkan pihak polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Terdahulu, kesemua suspek tiba di pekarangan mahkamah jam 9.03 pagi dengan diiringi polis bagi mendapatkan perintah reman.
MalaysiaGazette difahamkan, tangkapan ke atas semua suspek itu dibuat oleh sepasukan polis dari Bahagian D7 Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang bersama Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut selepas menyerbu sebuah kondominium mewah di Pulau Tikus di sini, semalam.

Serbuan jam 11.30 pagi itu membongkarkan kegiatan tiga lelaki warga China itu yang berperanan sebagai operator sindiket dengan pendapatan bulanan antara RM10,000 hingga RM20,000.
Manakala wanita Vietnam berusia 21 tahun itu pula, dipercayai kekasih kepada suspek berusia 34 tahun yang juga penyelia sindiket dan menguruskan keseluruhan operasi di lokasi berkenaan.
Difahamkan, sindiket ini aktif sejak Mac lalu dan mereka menyasarkan mangsa dalam kalangan rakyat China melalui aplikasi Telegram, Potato, WeChat dan QQ.
Mangsa yang berminat kemudian akan diberikan pautan laman web palsu sebelum diarahkan membuat pembayaran, termasuk menggunakan kod QR yang disediakan.
Dalam serbuan itu, pihak polis turut merampas sembilan buah telefon bimbit pelbagai jenama, tiga buah komputer riba, seutas jam tangan Rolex, wang tunai RM80,455 dan 900 Yuan. – MalaysiaGazette
















