Dzulkefly Ahmad

JOHOR BAHRU – Kesan pembangunan pusat data di negeri ini khususnya melibatkan kemampanan sumber tenaga elektrik, bekalan air dan alam sekitar untuk jangka masa panjang perlu diberi perhatian serius.

Timbalan Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Johor, Dzulkefly Ahmad berkata, Johor meluluskan 50 pusat data dalam tempoh dua tahun sekali gus menjadi pilihan utama kerana kos mengendalikan pusat data di Malaysia 30 peratus lebih murah berbanding di Singapura.

Bagaimanapun katanya, pusat data memerlukan sumber air bersih yang banyak dan ini boleh membebankan bekalan air tempatan.

“Sahabat Alam Malaysia (SAM) menganggarkan pusat data berkapasiti 100 MW memerlukan 4.16 juta liter air bersih setiap hari (MLD), bersamaan dengan penggunaan air bersih harian bagi sebuah bandar yang dihuni 10,000 penduduk.

“Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara telah memberi amaran negara berpotensi menghadapi kekurangan bekalan air yang meluas dalam masa lima tahun akibat daripada perubahan iklim, pembaziran dan infrastruktur yang semakin uzur.

“Dengan adanya permintaan tinggi secara mendadak dari pusat-pusat data, ia boleh menjadi titik konflik krisis air di negara kita,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, Johor mempunyai bekalan air terawat berjumlah 2,171 juta liter sehari (MLD) dan membeli purata 16 juta gelen air terawat sehari (MGD) dari Singapura pada harga RM0.50 setiap 1,000 gelen (RM0.11 semeter padu) seperti ditetapkan dalam Perjanjian Air 1962.

Walaupun mengikut perjanjian Johor hanya boleh membeli lima juta gelen air terawat sehari (MGD) disebabkan permintaan air yang meningkat, negeri ini sekarang membeli 16 juta gelen sehari dari Singapura.

⁠Katanya, kapasiti tenaga elektrik dimohon pusat data di Malaysia pula kini mencecah 11,000 Megawatt (MW) iaitu 40 peratus daripada kapasiti penjanaan kuasa elektrik di Semenanjung Malaysia iaitu 27,000 MW.

“Tenaga elektrik dalam jumlah yang besar ini digunakan terutama untuk pelayan (server) dan sistem penyejukan. Ini akan mengenakan risiko tekanan kepada sistem grid tenaga.

“Penggunaan bekalan elektrik yang banyak di pusat data dibekalkan Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan pengeluar tenaga bebas (IPP) adalah 49 peratus daripada loji jana kuasa arang batu yang menyumbang kepada perlepasan karbon yang tinggi,” katanya.

Ini juga memberi impak terhadap kualiti alam sekitar kerana keluasan sesebuah pusat data di Johor antara 22 ekar hingga 138 ekar.

Tambahnya, penebangan hutan secara berleluasa dan pembangunan di kawasan sensitif alam sekitar akan mengakibatkan kemungkinan kehilangan kawasan tadahan air dan habitat biodiversity.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast