Tangkap layar video yang tular memaparkan seorang lelaki sedang bertengkar sambil menolak seorang wanita di sebuah pejabat di Taman Kota Masai, Pasir Gudang

PASIR GUDANG – Tular rakaman video seorang pekerja wanita dikasari majikannya di sebuah pejabat di Taman Kota Masai di sini pada 15 Mei lalu.

Dalam video berdurasi 56 saat itu pada awalnya memaparkan seorang lelaki dipercayai majikan wanita terbabit bertengkar mulut sambil disaksikan seorang lagi wanita.

Pertengkaran mulut itu bertambah serius apabila lelaki terbabit menarik wanita tersebut yang sedang duduk di kerusinya hingga terjatuh.

Lelaki itu kemudian menolak wanita tersebut beberapa kali sebelum menariknya ke arah pintu untuk memaksanya keluar dari pejabat.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Asisten Komisioner Mohd Sohaimi Ishak berkata, pihaknya mengesan video tersebut pukul 8 malam tadi menerusi satu akaun Facebook.

“Pihak polis sebelum itu ada menerima laporan daripada mangsa iaitu seorang wanita tempatan berusia 34 tahun pukul 5.53 petang pada 15 Mei lalu.

“Kejadian dipercayai berlaku pukul 1.05 petang di sebuah pejabat di Taman Kota Masai,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kes disiasat bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehinga setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya.

Katanya, siasatan sudah selesai dijalankan dan kertas siasatan dirujuk ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya Negeri Johor semalam untuk mendapat arahan selanjutnya.

“Polis menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih mengenai kes ini,” ujarnya.

Kerjasama masyarakat tambah beliau, amat dihargai untuk membolehkan siasatan dijalankan dengan teliti dan adil.

Sebarang maklumat boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat Inspektor Muhammad Izzat Syafiq Zamziba 014-9242724 atau hubungi hotline Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam 07-3864222.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast