KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi hari ini menolak saman tiga peguam termasuk Datuk Mohd. Zaid Ibrahim terhadap Badan Peguam Malaysia dan presidennya berhubung kenyataan memfitnah yang mendakwa mereka menyalah guna dan mencemar sistem keadilan.
Mohd. Zaid, Liew Teck Huat dan Rueben Mathiavaranam mendakwa difitnah demikian ketika mengendalikan rayuan akhir Datuk Seri Najib Razak dalam kes berkaitan dana SRC International Sdn Bhd.
Hakim Roz Mawar Rozain menolak saman berkenaan selepas mendapati ketiga-tiga plaintif gagal membuktikan tuntutan mereka terhadap Badan Peguam Malaysia dan Presiden ketika itu, Karen Cheah Yee Lynn.
Dalam penghakimannya, beliau berkata, meskipun kenyataan media itu merujuk kepada plaintif dan telah diterbitkan, plaintif gagal membuktikan ia memfitnah jika dibaca dalam konteks dan makna biasa.
Hakim Roz Mawar berkata, kesan terhadap reputasi plaintif telah pun terbentuk sebelum penerbitan itu, hasil daripada kenyataan awam mereka sendiri dan perkembangan prosiding di Mahkamah Persekutuan.
Menurut beliau, plaintif sendiri sebelum penerbitan (kenyataan media), membuat pelbagai pendedahan awam termasuk temu bual media dan hantaran media sosial.
“Mereka mengakui kekurangan persediaan, mengkritik peguam terdahulu dan memohon penangguhan yang akhirnya ditolak oleh Mahkamah Persekutuan,” ujarnya.
Beliau berkata, mahkamah mendapati bahawa pada 19 Ogos 2022, kedudukan reputasi plaintif telah pun ditentukan oleh fakta yang telah berada dalam domain awam.
Katanya, dalam keadaan itu, kenyataan yang dipertikaikan walaupun bernada tegas tidak lagi menjejaskan reputasi plaintif secara ketara melebihi apa yang telah sedia berlaku.
“Mahkamah ini mengakui reputasi profesional wajar dilindungi, namun ambang undang-undang bagi sesuatu dakwaan fitnah tidak dipenuhi sekiranya kesan utama sesuatu kenyataan tidak menambah kepada kerosakan reputasi yang telah pun berlaku akibat peristiwa dan pendedahan yang tidak berkaitan secara langsung dengan kenyataan yang dipertikaikan.
“Mahkamah ini mendapati bahawa kenyataan itu tidak menurunkan atau merosakkan lagi kedudukan plaintif di mata masyarakat yang berfikiran munasabah. Oleh itu, tort fitnah tidak dibuktikan.
“Tuntutan plaintif atas asas konspirasi untuk `mencederakan’ juga gagal. Tiada bukti wujudnya sebarang persepakatan atau persetujuan antara defendan untuk bersama-sama `mencederakan’ plaintif,” katanya.
Mahkamah bagaimanapun tidak membuat perintah sebarang kos selepas peguam defendan, Andrew Chiew memohon supaya tiada perintah kos diberikan.
Dalam pernyataan tuntutan, ketiga-tiga plaintif mendakwa pada 19 Ogos 202 , defendan kedua (Karen Cheah) telah secara salah dan berniat jahat menerbitkan kenyataan akhbar bertajuk “Abuse of Process Brings Disrepute to Our Justice System” pada laman web rasmi defendan pertama dan kenyataan itu turut diterbitkan oleh The Edge Markets, Malay Mail dan The Star.
Mereka mendakwa kenyataan akhbar itu antara lain membawa maksud mereka telah menyalahgunakan proses mahkamah dan melakukan salah laku profesional dengan menerima kes daripada Najib serta perlu menghadapi prosiding tatatertib kerana menjatuhkan maruah profesion guaman.
Ketiga-tiga peguam itu mendakwa defendan gagal atau enggan menghubungi mereka untuk mengesahkan fakta-fakta sebelum mengeluarkan kenyataan akhbar selain tidak memberi peluang kepada plaintif untuk menyatakan pendirian daripada pihak mereka dan versi cerita mereka.
Dakwa kesemua plaintif, aduan salah laku terhadap mereka bagi pengendalian dalam kes rayuan Najib sepatutnya dibuat dan dirujuk terlebih dahulu kepada Lembaga Tatatertib di bawah Seksyen 99 (1) Akta Profesion Undang-undang.
Namun kedua-dua defendan melanggar kewajipan berkanun mereka dengan mengeluarkan kenyataan akhbar itu. – MalaysiaGazette















