KUALA LUMPUR – Pesta Kaamatan dan Hari Gawai bukan sahaja perayaan warisan yang kaya dengan nilai adat resam dan budaya malah melambangkan semangat kesyukuran, muafakat dan perpaduan dalam kalangan masyarakat majmuk di negara ini.
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Dagang berkata, kepelbagaian budaya, bahasa, dan warisan yang dimiliki oleh rakyat Malaysia merupakan satu anugerah dan kekuatan yang tidak ternilai.

“Ia menjadikan Malaysia unik di mata dunia dan perlu terus dipelihara, dihormati dan diraikan oleh semua lapisan masyarakat,” katanya menerusi kenyataan.
Jelasnya, semangat ‘Segulai Sejalai’ iaitu seiring dan sejalan menjadi lambang kepada kekuatan rakyat negara ini meskipun terdiri daripada berbilang kaum dan etnik.
“Ia bukan hanya slogan, tetapi nilai hidup yang harus ditanam dalam hati setiap warganegara, khususnya generasi muda yang bakal mewarisi masa depan Malaysia,” katanya lagi.
Mengulas lanjut menurut beliau, generasi muda memainkan peranan penting dalam mewarisi dan mengekalkan adat resam serta amalan budaya nenek moyang.
“Mereka harus dididik untuk memahami, menghormati dan menerima kepelbagaian sebagai satu landasan keharmonian dan kekuatan nasional,”katanya lagi.
Beliau berkata demikian sempena Pesta Kaamatan dan Hari Gawai kepada seluruh rakyat Malaysia, khususnya masyarakat Kadazan, Dusun, Murut, Rungus, Iban, Bidayuh dan Selako serta pelbagai etnik di Sabah dan Sarawak yang meraikannya.-MalaysiaGazette
















