Peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah bercakap kepada media di Kompleks Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 29 MEI 2025.

KUALA LUMPUR – Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata, sekurang-kurangnya tujuh surat yang dihantar kepada kerajaan bagi mengesahkan kewujudan titah adendum berkaitan tahanan rumah Datuk Seri Najib Razak, masih belum dijawab hingga kini.

Beliau berkata, surat tersebut antaranya dihantar kepada Peguam Negara ketika itu, Tan Sri Ahmad Terrirudin Mohd. Salleh, Kementerian Dalam Negeri dan Ketua Pengarah Penjara, malah tidak dibalas bagi mengakui penerimaannya.

“Sekurang-kurang tujuh surat yang dikemukakan kepada individu atau institusi bagi memohon pengesahan titah adendum, tidak dijawab atau dimaklumkan bahawa surat itu telah diterima.

“KDN yang bertanggungjawab terhadap dokumen tambahan itu harus menjawab surat tersebut, namun ia berdiam diri kerana dokumen itu memang wujud.

“Katalah ia tidak wujud, bukankah menjadi tanggungjawab mereka untuk menjawab surat kami dan mengatakan bahawa dokumen tambahan ini tidak dikeluarkan dari segi fakta dan undang-undang?

“Apa salahnya jika mereka memberitahu kami begitu?” ujar beliau pada sidang media di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini.

Muhammad Shafee selanjutnya menyatakan, prosiding komital terhadap Ahmad Terrirudin dikemukakan kerana beliau tidak memberikan arahan yang betul kepada pegawainya berhubung kewujudan titah adendum.

Ujar beliau, ketika prosiding di mahkamah, para pegawainya tidak pernah menafikan kewujudan titah tersebut sebaliknya menutup perkara itu dengan menyatakan kewujudannya tidak dapat dipastikan.

Ujar beliau, semakan kehakiman bukan satu prosiding biasa kerana ia ditujukan kepada pegawai atau badan kerajaan.

Kata beliau, individu atau badan kerajaan yang dinamakan dalam semakan kehakiman, sepatutnya menjelaskan secara jujur maklumat berkaitan dokumen yang disimpannya.

“Mereka tidak boleh bermain `sorok-sorok’ dan tidak boleh katakan `cuba teka sama ada ia wujud atau tidak’ sebaliknya mereka wajib menjelaskan maklumat dan dokumen tersebut,” ujar beliau.

Pada 21 Mei lalu, bekas Perdana Menteri memfailkan prosiding komital terhadap Ahmad Terrirudin agar beliau dipenjarakan kerana menghina mahkamah berkaitan titah adendum.

Permohonan bagi mendapatkan kebenaran untuk memulakan prosiding komital terhadap hakim Mahkamah Persekutuan itu difailkan melalui Tetuan Shafee & Co.

Firma guaman itu melalui kenyataan minggu lalu berkata, Januari lalu, pihaknya memaklumkan telah mendapat arahan Najib untuk memfailkan permohonan penghinaan mahkamah terhadap Ahmad Terrirudin.

Ujar kenyataan itu, firma berkenaan melalui surat bertarikh 20 Januari lalu menggesa bekas Peguam Negara memberikan sebab mengapa beliau tidak patut dikenakan tindakan penghinaan mahkamah berhubung titah adendum. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Titah YDPA pun mereka boleh buat main2, dibakul sampahkan?

    Kesian bekas YDPA, kini bersendirian pulak dalam menentang pencerobohan dan pencabulan tanah2 kerajaan, tiada pemimpin kerajaan bersama2 baginda?

    Mereka bersama sebuah parti chauvanis nampaknya sangat berkuasa, berkuasa penuh.

Comments are closed.