Datuk Fahmi Fadzil

KUALA LUMPUR – Kempen Internet Selamat yang dilancarkan di seluruh negara bertujuan untuk meningkatkan kesedaran orang ramai tentang keselamatan internet melalui advokasi dan penglibatan komuniti.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, kempen itu memberi tumpuan kepada lima isu kritikal iaitu penipuan dalam talian, perjudian dalam talian, buli siber, bahan penderaan seksual kanak-kanak (CSAM) dan penyalahgunaan media sosial oleh kanak-kanak bawah 13 tahun selain meningkatkan keprihatinan ibu bapa tentang pengawasannya.

“Untuk meluaskan jangkauannya, Jelajah Kempen Internet Selamat dilancarkan pada Januari 2025 menampilkan forum interaktif dan sesi penglibatan dengan pelajar dan orang ramai untuk mempromosikan keselamatan dalam talian
dan tingkah laku digital yang bertanggungjawab,” katanya.

Beliau menyatakan demikian Ketika berucap pada Mesyuarat Telekomuniti Asia Pasifik Peringkat Menteri di Tokyo, Jepun, hari ini.

Menurut Fahmi, bagi menggalakkan kebertanggungjawaban platform dalam talian, Malaysia telah memperkenalkan Rangka Kerja Kawal Selia untuk Penyedia Perkhidmatan Mesej Internet dan Media Sosial.

Ia memerlukan semua perkidmatan mesej internet dan penyedia perkhidmatan media sosial dengan lebih lapan juta pengguna di Malaysia memohon Lesen Kelas Penyedia Perkhidmatan Aplikasi
(ASP (C)) di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Tambah beliau, dasar yang berkuat kuasa sejak Januari 2025 itu memastikan platform utama mematuhi undang-undang Malaysia dan mengambil tanggungjawab yang lebih besar untuk mengurus kandungan.

Jelasnya, Malaysia juga membangunkan Tata Kelola (Amalan Terbaik) untuk Pemesejan Internet dan Pembekal Perkhidmatan Media Sosial (CoC) yang diterbitkan pada 20 Disember 2024.

“Ia menyasarkan untuk menggalakkan amalan, kebertanggungjawaban etika dan kandngan yang sederhana oleh platform seperti WhatsApp, Facebook, Instagram, X (dahulunya Twitter), dan TikTok.

“Tata kelola ini dibangunkan sebagai tindak balas kepada kebimbangan yang semakin meningkat tentang maklumat yang tidak tepat, kandungan yang berbahaya dan keselamatan dalam talian,” ujarnya

Fahmi berkata, sebagai Pengerusi ASEAN pada tahun ini, Malaysia telah merintis dan menerajui Deklarasi Kuala Lumpur terhadap Penggunaan Selamat untuk ASEAN.

Selain itu, katanya Malaysia juga sedang meneroka penubuhan
Peralatan Keselamatan Dalam Talian ASEAN yang bertujuan untuk menyatukan sumber dan amalan terbaik negara anggota bagi mengutarakan cabaran keselamatan dalam talian di setiap negara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast