KUALA LUMPUR – Tiada seorang pun warga asing yang berjaya melarikan diri mahupun bolos dalam Operasi Kachi yang dilancarkan Pasukan Gerakan Am (PGA) Bukit Aman di sekitar rumah kedai bersebelahan Pasar Borong Selayang di sini, awal pagi ini.
Timbalan Pengarahnya, Datuk Mohamad Suzrin Mohamad Rodhi berkata, walaupun terdapat cubaan beberapa warga asing melarikan diri, namun pihaknya yang melakukan sekatan kawasan itu bermula jam 10 malam tadi berjaya mengelakkan perkara itu berlaku.
“Semasa kita lockdown (kepung) kawasan ini, ada juga cubaan melarikan diri dan ada cubaan memanjat bumbung (premis rumah kedai).
“Bagaimanapun Alhamdulillah tangkapan kita ini tiada kecederaan dan semua anggota yang terlibat ini sifar mangsa,” katanya pada sidang media dekat Pasar Borong Selayang, di sini, awal pagi tadi.

Terdahulu Suzrin mengetuai Operasi Kachi secara bersepadu dengan agensi penguatkuasaan lain termasuk Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Putrajaya, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Suruhanjaya Tenaga dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), membabitkan 560 anggota dan pegawai.
Suzrin juga berkata, Operasi Kachi yang berakhir kira-kira jam 5.56 pagi tadi berjaya melakukan pemeriksaan ke atas 1,435 individu merangkumi warganegara India, Nepal, Bangladesh, Indonesia, Myanmar dan rakyat tempatan.
“Daripada jumlah itu, warganegara Myanmar yang juga pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHCR) merupakan kumpulan warga asing yang mendominasi kawasan itu membabitkan 1,222 individu.
“Ini diikuti warganegara Bangladesh (142), India (9), Indonesia (2), Nepal (1) dan Malaysia (1),” katanya.

Selain itu, kata Suzrin, sebanyak lima kesalahan di bawah Akta Imigresen dilakukan warga asing terbabit, termasuk tiada dokumen perjalanan yang sah, menggaji pendatang asing tanpa izin (PATI), tinggal melebihi tempoh, melindungi PATI dan salah guna permit.
“Hasil pemeriksaan pihak Suruhanjaya Tenaga mendapati terdapat kesalahan melakukan ubah suai meter elektrik manakala pihak SPAN pula menjumpai penyambungan haram paip air di premis perniagaan dekat Pasar Borong Selayang.
“Kesalahan itu ditemui hasil pemeriksaan ke atas 225 premis perniagaan membabitkan dua blok bangunan bersebelahan dengan Pasar Borong Selayang,” katanya.

Dalam pada itu, operasi bersepadu itu dilakukan susulan aduan orang ramai diterima pihaknya mengenai terdapat ramai pendatang asing tanpa izin (PATI) di kawasan terbabit.
“Operasi Kachi ini juga hasil risikan pihak PGA Bukit Aman termasuk FRU dan PGU selama kira-kira dua minggu, sebelum tindakan diambil.
“Tambahan pula kawasan ini kita tidak pernah jalankan operasi sebegini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















