KUALA LUMPUR – Penggunaan tong gas bersubsidi tidak melebihi 42 kilogram tidak memerlukan Permit Barang Kawalan Berjadual (PBKB).
Pengarah Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Azman Adam berkata, peniaga yang menggunakan LPG melebihi berat berkenaan dinasihatkan untuk membuat permohonan PBKB.
“Pemeriksaan penguat kuasa KPDN di premis-premis jualan makanan dan minuman kini adalah pada peringkat advokasi, semakan dan pemakluman tanggungjawab pematuhan kepada undang-undang dan peraturan sedia ada termasuk PPKB (Pindaan) 2021 yang berkuat kuasa sejak 15 Oktober 2021.
“Sepanjang tempoh Ops Gasak, tidak ada sebarang tindakan undang-undang diambil kepada perniagaan perkhidmatan jualan makanan dan minuman berhubung keperluan memiliki Permit Barang Kawalan Berjadual bagi LPG,” katanya menerusi kenyataan.
Menurutnya, permohonan boleh dibuat melalui Business Licensing Electronic Support System (BLESS) 2.0, dalam masa yang sama merujuk kepada KPDN Negeri dan cawangan berdekatan untuk mendapatkan panduan dan penerangan lanjut.
Katanya, sepanjang Ops Gasak meskipun belum menerima PBKB pembekal LPG dibenarkan membuat pembekalan tong bersubsidi kepada pelanggan termasuk para peniaga perkhidmatan jualan makanan dan minuman.
Ops Gasak yang bermula 1 Mei hingga 31 Oktober 2025 menumpukan kepada penguatkuasaan ketirisan subsidi.
Antara punca kuasa utama operasi berkenaan adalah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 serta Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (Pindaan) 2021.
Peruntukan undang-undang sedia ada di bawah PPKB (Pindaan) 2021 yang telah berkuat kuasa sejak 15 Oktober 2021 menggariskan bahawa penggunaan LPG melebihi 42 kilogram memerlukan kepada permohonan PBKB.
Terdahulu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata subsidi LPG masih dikekalkan untuk pengguna domestik, dan tiada keputusan dibuat untuk memansuhkannya.- MalaysiaGazette
















