KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi hari ini memerintahkan seorang pensyarah kanan, Dr. Kamarul Zaman Yusoff membayar ganti rugi berjumlah RM400,000 kepada Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh kerana memfitnah beliau menerusi dua hantaran Facebook, lapan tahun lalu.
Hakim Datuk Aliza Sulaiman memerintahkan pensyarah kanan Universiti Utara Malaysia (UUM) itu selaku defendan membayar ganti rugi am dan ganti rugi teruk masing-masing sebanyak RM200,000 bagi setiap hantaran yang dibuatnya serta kos RM80,000.
Ahli Parlimen Segambut itu menyaman beliau pada 2022 kerana memfitnahnya berhubung agenda Kristianisasi dalam buku bertajuk `Becoming Hannah: A Personal Journey’.

Mahkamah memerintahkan faedah pada kadar lapan peratus setahun dari tarikh pemfailan writ saman pada 24 Februari 2022 hingga tarikh penghakiman dan lima peratus setahun hingga pembayaran penuh.
Hakim berkenaan juga mengeluarkan perintah injunksi menghalang defendan atau ejen-ejennya menerbitkan perkataan-perkataan serupa.
Dalam keputusan itu, Hakim Aliza bagaimanapun menolak permohonan Hannah untuk mendapat penarikan balik dan permohonan maaf tanpa syarat daripada pensyarah berkenaan.
“Defendan bukan sahaja tidak pernah menyatakan kesediaan untuk meminta maaf, malah dia tidak berada di mahkamah untuk mendengar keputusan. Jadi tidak perlu pada peringkat ini, ia (permohonan maaf) adalah tidak ikhlas dan sia-sia.
“Berhubung ganti rugi teladan, saya tidak membenarkannya kerana mahkamah tidak yakin bahawa plaintif telah membuktikan unsur-unsur bagi membolehkan beliau mendapat ganti rugi itu,” ujarnya.
Pada prosiding itu, Hannah diwakili peguam Sangeet Kaur Deo manakala Mohd. Khairul Azam Abdul Aziz hadir mewakili Kamarul Zaman.
Ketika membacakan keputusan itu, Hakim Aliza berkata, mahkamah membenarkan tuntutan saman Hannah berdasarkan imbangan kebarangkalian bahawa plaintif berjaya membuktikan defendan digerakkan atas niat jahat ketika membuat komen itu
Dalam penghakiman tersebut, Hakim Aliza juga berkata, Hannah memfailkan saman terhadap penganalisis politik itu atas kapasiti peribadi beliau.
Oleh yang demikian, mahkamah menolak pembelaan defendan yang menyatakan wakil rakyat itu tidak mempunyai hak di sisi undang-undang (locus standi) untuk menyaman beliau.
Beliau turut menolak pembelaan Kamarul Zaman bahawa penerbitan pertama tidak merujuk kepada plaintif, sebaliknya kepada DAP.
“Jika defendan benar-benar percaya bahawa plaintif telah melakukan kesalahan kerana cuba mengislamkan orang Islam melalui bukunya, jadi mengelak laporan polis sudah memadai.
“Perkara itu harus diserahkan kepada polis untuk menyiasat. Sebaliknya, defendan memilih untuk menyiarkan laporan polis ini untuk meletakkan keseluruhan laporan polis dalam laman Facebooknya.
“Jadi, secara ringkasnya, saya berpuas hati bahawa penerbitan pertama dan penerbitan kedua adalah memfitnah plaintif.
“Penerbitan itu mencadangkan plaintif adalah ancaman kepada Islam menyatakan kedudukannya secara terbuka terhadap agama Kristian,” ujar hakim itu.
Ujarnya beliau, dalam negara berbilang kaum dan agama seperti Malaysia, di mana isu agama sudah tentu sangat sensitif jadi ini pasti mendedahkan plaintif kepada kebencian, cemuhan dan penghinaan.
Katanya, mahkamah turut memberikan pertimbangan yang teliti terhadap pembelaan justifikasi, komen yang adil dan keistimewaan bersyarat dan berpuas hati defendan gagal membuktikannya.
Berdasarkan saman yang difailkan pada 2022, Hannah selaku plaintif berkata Kamarul Zaman memuat naik dua hantaran Facebook antara 10 Mei dan 17 Mei 2017, iaitu beliau mendakwa bahawa plaintif mempunyai motif untuk menyebarkan Kristian menerusi politiknya.
Pensyarah itu turut memetik biografi Hannah “Becoming Hannah: A Personal Journey” bagi memacu agenda Kristian dan turut mendakwa beliau berniat untuk mengubah Malaysia menjadi negara Kristian. – MalaysiaGazette
















