KUALA LUMPUR – Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri menafikan dakwaan bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim cuba mendapatkan kekebalan undang-undang daripada tindakan sivil.
Menurut Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin, permohonan yang difailkan ke Mahkamah Persekutuan adalah proses sah di sisi undang-undang untuk mendapatkan tafsiran Perlembagaan dalam isu saman sivil Muhammed Yusoff Rawther yang mendakwa Anwar melakukan serangan seksual terhadapnya.
Ia termasuk pandangan melibatkan kedudukan seorang Perdana Menteri dalam tindakan sivil atas dakwaan yang berlaku sebelum pelantikannya ke jawatan itu.
“Tiada permintaan untuk kekebalan mutlak. Apa yang dimohon ialah penjelasan sama ada tindakan sivil seperti ini boleh menjejaskan kecekapan Perdana Menteri dalam melaksanakan tugas rasmi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Pada 27 Mei lalu, Anwar memohon Mahkamah Tinggi untuk merujuk lapan persoalan undang-undang kepada Mahkamah Persekutuan bagi diputuskan.
Permohonan itu termasuk persoalan sama ada beliau mempunyai imuniti daripada saman sivil yang difailkan oleh bekas penyelidiknya, Yusoff Rawther, empat tahun lalu.
Sementara itu, Shamsul menafikan dakwaan Lawyers for Liberty (LFL) yang menyamakan permohonan tersebut sebagai langkah bersifat autoritarian.
Katanya, perbincangan mengenai ‘qualified immunity’ bukan sesuatu yang luar biasa dalam sistem demokrasi.
Menurutnya, Perdana Menteri tidak berada di atas undang-undang dan tidak wajar dijadikan sasaran tindakan undang-undang bermotif politik yang boleh mengganggu kestabilan pentadbiran negara. – MalaysiaGazette















