Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Datuk Sirajuddin Suhaimee menyampaikan sijil penganugerahan kepada penerima pada Perhimpunan Bulanan JAKIM bagi Mei 2025 di Auditorium JAKIM, Putrajaya. Foto SADIQ SANI, 30 MEI 2025

PUTRAJAYA – Penarikan balik Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) dua hotel lima bintang di Banda Hilir, Melaka baru-baru ini merupakan peringatan kepada semua pemegang sijil seluruh negara supaya mematuhi syarak dan ketetapan.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Dr. Sirajuddin Suhaimee berkata, Jabatan Agama Islam setiap negeri akan melakukan pemantauan dan penguatkuasaan yang lebih agresif dan proaktif bagi memastikan pemegang sijil halal tidak menyalahgunakannya demi mengaut keuntungan semata-mata.

“Di setiap negeri memang ada bahagian pemantauan dan  penguatkuasaan, maka  (dalam konteks kes baru-baru ini) Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) melaksanakannya.

“Apa yang berlaku di Melaka, setiap negeri juga melakukan operasi yang sama untuk membuat pemantauan dan memastikan perkara sebegini tidak berlaku di kalangan pemegang sijil halal dan tidak melakukan sesuatu yang diluar peraturan dan syarak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Perhimpunan Bulanan Jakim Bulan Mei 2025, hari ini.

Baru-baru ini dilaporkan, JAIM menarik  balik Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) dua hotel lima bintang di Banda Hilir selepas didapati menganjurkan parti arak pada dua minggu lalu.

Sijil halal itu ditarik serta-merta selepas pemantauan mendapati bekas alkohol digunakan bersama peralatan dapur yang sepatutnya hanya untuk penyediaan makanan halal.

Tindakan tersebut diambil mengikut peraturan Manual Prosedur Pensijilan Halal Malaysia 2020, dan hotel terbabit boleh memohon semula sijil halal dalam tempoh tiga bulan jika mematuhi syarat.

Sementara itu, Sirajuddin berkata Jakim sentiasa memastikan proses pengeluaran sijil halal berjalan dengan mudah dan cepat.

Sehingga kini katanya, tempoh terpantas kelulusan pernah direkodkan adalah dalam masa seminggu.

“Matlamat kita (adalah dalam) tempoh 23 hari itu dapat kita tingkatkan, sebelum ini kita capai 94 peratus (kelulusan). Dengan penambahan ini kita yakin dapat tingkatkan bukan sahaja bilangan yang dapat sijil halal malah tempoh yang diambil dipendekkan lagi,” ujarnya.

Terdahulu, ketika perhimpunan bulanan tersebut Sirajuddin turut menyempurnakan sesi Penyerahan Sijil Kompetensi Juruaudit Halal Malaysia.

Beliau juga melancarkan Garis Panduan Pelaksanaan Solat Secara Duduk di Atas Kerusi.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast