Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz

KUALA LUMPUR – Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Datuk Seri Tengku Zafrul Aziz menegaskan keputusan beliau menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) dibuat atas kehendaknya sendiri, bukan dipengaruhi atau dipaksa oleh mana-mana pihak.

Beliau yang enggan mengulas panjang tentang tindakannya keluar UMNO berkata, keputusan yang dibuatnya bukan senang tetapi telah difikirkan dengan teliti.

Sebaliknya, keputusan tersebut dibuat selepas memikirkan secara mendalam.

Dalam pada itu, beliau yang amat menghargai pihak-pihak yang menghormati haknya sebagai individu untuk memilih halian politik sendiri.

“Saya juga amat menghargai mereka yang memahami hak saya jugalah sebagai individu, dan dalam memilih lalu tuju politik saya.

“Ya, seperti yang disebut tadi, memang saya telah menyatakan niat untuk menyertai PKR kepada Presiden PKR dan juga kepada Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat,” katanya kepada media ketika ditemui di Lapangan Terbang Kuala Lumpur.

Dalam pada itu, Tengku Zafrul sempat menzahirkan rasa terima kasih semua pihak  terutama kepada UMNO atas segala sokongan sepanjang penglibatannya dalam parti tersebut.

Malah, beliau  amat  menghargai mereka yang memahami haknya  sebagai individu dalam memilih hala  tuju politiknya. .

“Saya nak ucapkan sekali lagi kepada Datuk Presiden UMNO, dan rakan-rakan serta ahli-ahli UMNO yang telah banyak membantu saya, memberi sokongan dan dorongan sepanjang semasa saya aktif dalam UMNO.

“Buat masa ini, saya mohon kepada semua untuk berikan saya ruang untuk fokus kepada ibadah haji, saya mohon doakan agar segala urusan saya dan isteri saya dan keluarga saya dipermudahkan di sana.

“Kepada para sahabat dan kenalan, saya juga ingin memohon maaf jika ada terkasar bahasa kepada semua ataupun terkhilaf di sepanjang persahabatan kita,” katanya lagi.

Beliau juga enggan mengulas mengenai desakan sesetengah pihak agar beliau melepaskan jawatan menteri kerana portfolio tersebut dianggap milik UMNO, sebaliknya menyerahkan keputusan sepenuhnya kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Saya tidak ada komen. Seperti yang saya sebut tadi, saya ingin beri fokus kepada ibadah haji bersama keluarga. Saya serahkan semuanya kepada kebijaksanaan Perdana Menteri,” katanya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast