BATU CAVES – Desas-desus mengatakan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari bakal menyertai Kabinet Kerajaan Persekutuan bukan spekulasi baharu, bahkan ia sudah dimainkan banyak pihak sejak lima tahun lalu.
Amirudin berkata, setakat ini kedudukan beliau ketika masih kekal meskipun spekulasi itu terus berlegar dalam media sosial.
Menteri Besar itu berkata, sebaliknya beliau sendiri meminta Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz mendoakan agar perkara itu tidak berlaku.
“Spekulasi ini sudah lima tahun lepas, Alhamdulillah saya masih kekal dan semalam pun saya sempat ziarah Tengku Zafrul sebelum beliau berangkat ke Makkah.
“Beliau (Zafrul) tanya apa doa saya nak kirim, saya minta beliau doakan saya kekal di Selangor,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Khairat Darul Ehsan di Dataran Ilmu, Selayang, di sini, hari ini.
Tengku Zafrul dalam satu kenyataan semalam mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Ketua UMNO Bahagian Kota Raja dan ahli parti itu berkuat kuasa serta-merta.
Beliau juga mengesahkan sudah menyatakan hasrat untuk menyertai PKR kepada Presiden, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Setiausaha Agung, Dr Fuziah Salleh.
Spekulasi itu semakin bertiup kencang susulan peletakan jawatan Datuk Seri Rafizi Ramli sebagai Menteri Ekonomi dan Nik Nazmi Nik Ahmad sebagai Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Khamis lalu.
Tindakan Rafizi dan Nik Nazmi itu dibuat selepas masing-masing gagal mempertahankan jawatan Timbalan Presiden dan Naib Presiden PKR dalam pemilihan parti sempena Kongres Nasional 2025 pada 24 Mei lalu.
Dalam pada itu, Amirudin yang juga Naib Presiden PKR berkata, beliau tidak merasakan peralihan kuasa itu berlaku termasuk Pilihan Raya Kecil (PRK) untuk memilih Menteri Besar Selangor baharu dalam masa terdekat.
“Saya tak rasa dalam tempoh dua tahun terakhir kita nak buat PRK, kemudian kita nak mandat baharu supaya semata-mata nak tukar MB ataupun nak tukar.
“Kita ada dua tahun lagi ke hadapan, jadi banyak lagi perkara yang wajar kita pertimbangkan, fokus kita sekarang Pilihan Raya Negeri Sabah, bagaimana memperkukuhkan pasukan kerajaan perpaduan.
“Ini antara kerja-kerja segera yang perlu dilakukan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















