Ibu bapa kepada kanak-kanak autisme Zayn Rayyan Abdul Matin, Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf tiba di perkarangan Mahkamah bersama-sama ahli keluarga bagi sambungan perbicaraan atas tuduhan menganiaya anak mereka di Kompleks Mahkamah, Petaling Jaya. Foto HARI ANGGARA, 18 FEBRUARI 2025. (GAMBAR FAIL)

KUALA LUMPUR – Pihak pembelaan berpendirian, reaksi Ismanira Abdul Manaf yang menangis ketika mayat Zayn Rayyan Abdul Matin dijumpai di aliran anak sungai berhampiran Apartment Idaman, Damansara Damai, dekat sini adalah konsisten dengan kelakuan seseorang yang tidak bersalah.

Menurut pembelaan, reaksi itu diperoleh hasil keterangan saksi pendakwaan keempat (SP4), Inspektor Nina Syamimi Syamsuddin yang mengesahkan Ismanira menangis ketika mayatnya ditemukan pada 6 Disember 2023.

Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin

Pegawai polis itu dalam keterangannya di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya menyatakan, Ismanira sebelum itu berusaha mencari kanak-kanak autisme tersebut di beberapa lokasi namun mangsa tidak berjaya ditemukan. Laporan polis dibuat oleh Ismanira sehari sebelum itu.

Keterangan tersebut turut disokong oleh keterangan SP16, Rashidah Rajali (jiran keluarga tersebut) yang melihat Ismanira aktif mencari Zayn Rayyan dari dua arah berlainan dalam keadaan berpeluh-peluh.

Pembelaan menyatakan, keterangan kedua-dua saksi itu menyanggah kes pendakwaan bahawa Ismanira mengabaikan anaknya.

Sehubungan itu, pasukan pembelaan menyatakan, tiada bukti yang boleh mengaitkan perlakuan Ismanira dengan pengabaian terhadap Zayn Rayyan seperti yang dinyatakan dalam pertuduhan.

Pembelaan menyatakan demikian dalam penghujahan bertulis setebal 127 muka surat ketika menggariskan alasan mengapa Ismanira dan suaminya, Zaim Ikhwan Zahari patut dibebaskan daripada pertuduhan tersebut tanpa dipanggil membela diri.

Penghujahan bertulis itu yang diperolehi pihak media, difailkan oleh Tetuan Haresh Mahadevan & Co. pada 23 Mei lalu.

Selain itu, tiada saksi mata (eye witness) yang melihat Ismanira mahupun suaminya mengabai anak mereka melainkan tanggapan itu dibuat hanya berdasarkan kepada tafsiran pegawai penyiasat.

Menurut pembelaan, keterangan berbentuk pendapat tidak boleh diterima oleh Mahkamah Sesyen kerana tiada bukti langsung (direct evidence) yang menyokong pertuduhan terhadap kedua-duanya.

Polis membuat sekatan di sekitar kediaman adik Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin di Apartmen Idaman, Damansara Damai, Selangor. Foto AIZAT ZAINAL, 20 FEBRUARI 2025. (GAMBAR FAIL)

Pembelaan turut menyatakan, tindakan Ismanira meninggalkan Zayn Rayyan berjalan di belakang ketika pulang dari sekolah pada tengah hari mangsa dilaporkan hilang, juga bukan suatu pengabaian.

Hujah pembelaan itu disokong oleh keterangan SP10, Nasimah Abu Bakar yang menjelaskan Zayn seorang kanak-kanak autisme yang pasif dan berkelakuan baik serta boleh bergantung kepada petunjuk harian.

“Zayn Rayyan budak baik dan bukan jenis yang `hyper’, dia tak tantrum sangat,” ujar Nasimah yang juga pembantu pengurus murid di sekolah Zayn Rayyan ketika memberi keterangan pada 7 Februari lalu.

Dalam penghujahan itu, pihak pembelaan turut membangkitkan isu bahawa polis cuba mempengaruhi saksi-saksi secara tidak wajar untuk mengenakan tertuduh.

Keterangan itu diperolehi menerusi Nasimah yang mengaku beberapa saksi dipanggil berkali-kali untuk mengubah pernyataan kepada polis.

Pada 24 April lalu, pihak pendakwaan menutup kes selepas 28 saksi memberi keterangan dalam prosiding perbicaraan yang berlangsung selama 20 hari bermula 4 Februari lalu.

Antara saksi yang dipanggil pendakwaan adalah eksekutif jualan, Faizul Najib Abd Munaim yang menemui arwah Zayn Rayyan atas timbunan pasir di aliran sungai; pengasuh, Auni Afiqah Abas; guru prasekolah pendidikan khas, Siti Aminah Nor Mad Ali dan dua saksi kanak-kanak berusia 10 tahun.

Selain itu, saksi lain ialah pakar patologi, Dr Rohayu Shahar Adnan, pakar pediatrik Dr Bernice Lim Pei-Yi dan dua pegawai penyiasat yang menyiasat kes kehilangan kanak-kanak itu.

Hakim Dr. Syahliza Warnoh mengarahkan hujahan bertulis difailkan selewat-lewatnya 23 Mei ini manakala hujahan balas pada 6 Jun ini.

“Saya akan sampaikan keputusan pada 21 Julai ini. Sekiranya keputusan memihak kepada pendakwaan, pihak pembelaan perlu memulakan kes mereka pada hari yang sama,” katanya pada prosiding itu.

Pasukan pendakwaan turut diwakili Timbalan Pendakwa Raya Aqharie Durranie Aziz dan Nur Sabrina Zubairi manakala pasangan suami isteri itu diwakili peguam Haresh Mahadevan, Ramzani Idris dan Lavanesh Haresh.

Pada 13 Jun tahun lalu, Zaim Ikhwan dan Ismanira, mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan mengabaikan kanak-kanak autistik berusia enam tahun itu dengan cara kemungkinan menyebabkan kecederaan fizikal terhadapnya pada 5 Disember 2023.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sekitar kawasan Blok R, Apartment Idaman, Damansara Damai sehingga ke kawasan sungai berdekatan Apartment Idaman, Damansara Damai di sini antara jam 12 tengah hari, 5 Disember dan jam 9.55 malam pada 6 Disember 2023.

Pertuduhan jika sabit salah mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 31 (1) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast