WASHINGTON – Elon Musk pada Sabtu menafikan laporan yang mengatakan belilau menggunakan ketamin dan dadah lain secara meluas semasa kempen pilihan raya 2024.
Jumaat lalu, Akhbar The New York Times melaporkan jutawan yang juga penasihat kepada Presiden Donald Trump itu menggunakan begitu banyak ketamin — sejenis anestetik yang kuat – sehingga menyebabkan masalah pundi kencing.
Akhbar itu turut melaporkan bahawa individu terkaya di dunia itu juga mengambil ekstasi dan cendawan halusinogen serta membawa kotak pil ketika melakukan perjalanan pada tahun lalu.
Bagaimanapun, tidak diketahui sama ada Musk turut mengambil dadah semasa mengetuai jabatan yang digelar Jabatan Kecekapan Kerajaan (DOGE) selepas Trump berkuasa pada Januari.
Dalam satu hantaran di platform X pada hari Sabtu, Musk berkata: “Untuk makluman, saya TIDAK mengambil dadah! The New York Times berbohong habis-habisan.”
Beliau menambah: “Saya pernah mencuba ketamin ‘yang diberi melalui preskripsi’ beberapa tahun lalu dan saya telah menyatakannya di X, jadi ini bukan berita pun. Ia membantu keluar dari situasi kemurungan, tetapi saya tidak menggunakannya lagi sejak itu.”
Musk pada mulanya mengelak daripada menjawab soalan mengenai penggunaan dadah semasa tampil di Pejabat Oval pada hari Jumaat, bersama Trump.
Beliau yang menghadiri sidang media bersama Presiden AS itu muncul dengan mata lebam yang ketara.
Di majlis yang sama, Trump mengumumkan penamatan peranan Musk sebagai ketua pemotong bajet utama Trump di DOGE, yang telah memecat puluhan ribu penjawat awam.
Berita mengenai kecederaan itu mendapat perhatian ramai kerana ia muncul sejurus selepas laporan Times mengenai dakwaan penggunaan dadah oleh Musk.
Akhbar itu turut mengingatkan tingkah laku pelik seperti Musk yang memberi tabik ala Nazi dengan penuh semangat pada Januari tahun ini dalam satu perhimpunan meraikan pelantikan semula Trump.
Musk menjelaskan bahawa beliau mengalami kecederaan itu ketika bergurau dengan anak lelakinya yang masih kecil, bernama X, apabila beliau menyuruh anaknya menumbuk mukanya.
“Dan dia pun buat. Rupa-rupanya, walaupun seorang budak lima tahun menumbuk muka anda, ia sebenarnya…” katanya, sebelum terdiam.
Kemudian pada hari Jumaat, apabila seorang wartawan bertanya kepada Trump sama ada beliau tahu mengenai “penggunaan dadah secara tetap” oleh Musk, Trump menjawab: “Saya tidak tahu.”
“Saya rasa Elon seorang yang hebat,” tambah Trump.
Musk sebelum ini pernah mengakui mengambil ketamin, dengan mengatakan ia diberikan atas preskripsi untuk merawat “kerangka pemikiran yang negatif” dan mencadangkan bahawa penggunaan dadah itu membantunya dalam pekerjaan. -Agensi
IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast
















