KUALA LUMPUR – Keriangan empat sekawan selepas menikmati makan malam bertukar tragedi apabila salah seorang daripada mereka maut selepas merempuh belakang sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di Jalan Lingkaran Tengah Utama dekat Kuala Lipis, Pahang tengah malam tadi.
Ketua Polis Daerah Maran, Supritendan Ismail Man berkata, semua itu berlaku selepas motosikal yang ditunggangi bergesel antara satu sama lain.
Siasatan awal pihaknya mendapati, pemandu MPV jenis Perodua Alza berkenaan merupakan seorang lelaki warga tempatan berusia 23 tahun yang memandu dari Cameron Highlands untuk pulang ke rumahnya di Kuantan.
“Sejurus tiba dilokasi, keempat-empat penunggang yang masing-masing berusia 24, 27 dan 31 tahun yang dalam perjalanan dari Gua Musang ke Kuala Lipis telah bergesel sesama sendiri hingga menyebabkan kenderaan mereka hilang kawalan dan terbabas.
“Akibat kemalangan tersebut salah seorang daripada penunggang motosikal Amirul Haziq Azmi yang berusia 31 tahun berasal dari Felda Chegar Perah, Lipis telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan.
Kes berkenaan masih dalam siasatan di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Sehubungan itu, beliau menggesa orang ramai atau saksi kejadian supaya tampil ke mana-mana balai polis berdekatan untuk membantu siasatan.
Beliau turut menasihatkan agar semua pengguna jalan raya sentiasa berhati-hati ketika memandu serta memastikan kenderaan mereka diselenggara dengan baik dan selamat. – MalaysiaGazette
















