KUANTAN – Sebuah vesel nelayan tempatan (VNT) kelas C bersama seorang tekong dan empat kru warganegara asing ditahan kira-kira 1.5 batu nautika dari tenggara Kuala Kuantan, di sini, semalam kerana disyaki beroperasi tanpa permit sah.
Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) negeri Pahang, Laksamana Pertama Maritim Mazlan Mat Rejab berkata, penahanan dilakukan kira-kira pukul 12.30 tengah hari.
Beliau berkata, ia selepas pasukan bot ronda Maritim Malaysia menerusi Op Makmur dan Op Tiris mendapati VNT tersebut berapung dalam keadaan mencurigakan.
“Hasil pemeriksaan mendapati vesel berkenaan dikendalikan oleh seorang tekong dan empat kru, kesemuanya warga Myanmar berumur antara 21 hingga 35 tahun.
“Pemeriksaan lanjut ke atas dokumen mendapati vesel terbabit disyaki tidak memiliki sebarang permit kerja atau kelulusan daripada Jabatan Perikanan Malaysia serta tidak mempunyai Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mazlan berkata, kes akan disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63.
Tambahnya, selain VNT berkenaan, turut dirampas adalah peralatan menangkap ikan serta kira-kira 950 kilogram hasil laut yang kemudian dibawa ke Jeti Penerpa Kuantan Slipway untuk diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Maritim Malaysia bagi tindakan lanjut. – MalaysiaGazette
















