GEORGE TOWN – Seorang lelaki bergelar Datuk Seri ditahan polis hari ini selepas dipercayai mencederakan seorang jurujual wanita menggunakan objek menyerupai grip pistol dalam kejadian di Jalan Kelawai di sini pada 1 Jun lalu.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad berkata, suspek berusia 41 tahun itu ditahan selepas tampil menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut sekitar pukul 9.30 pagi tadi.
Hasil siasatan mendapati berlaku akibat perselisihan faham antara mangsa berusia 28 tahun dengan suspek membabitkan pemanduan di jalan raya kira-kira pukul 2.20 pagi.
“Impak insiden itu, mangsa mengalami kecederaan parah pada bahagian hidung dan mata selepas dipukul oleh suspek menggunakan objek yang disyaki grip pistol.
“Susulan itu mangsa tampil membuat laporan polis pada jam 5.56 petang hari yang sama sebelum tangkapan dibuat.
“Turut dirampas ialah sepucuk pistol, satu kelopak dan buku lesen memiliki senjata atau peluru bagi membantu siasatan, katanya dalam kenyataan media hari ini.
Tambah beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan Seksyen 34 Akta Senjata 1960. – MalaysiaGazette
















