Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) memutuskan untuk merujuk syor penambahbaikan kepada pihak Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) bagi meningkatkan kawalan dan pematuhan ke atas Perintah Tetap Kastam oleh pengimport dan ejen kastam.

Selain itu, EAIC dalam satu kenyataan turut mengesyorkan supaya JKDM mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana pengimport dan ejen kastam yang didapati melanggar Perintah Tetap Kastam.

Tambahnya, syor itu dibuat selepas EAIC menerima aduan terhadap JKDM kerana didakwa tidak mengambil tindakan membatalkan lesen pengimport dan ejen kastam yang telah melanggar Perintah Tetap Kastam.

“Siasatan mendapati terdapat kelemahan dalam proses meluluskan Borang Pengikraran Kastam bagi melepaskan barang dagangan import dan terdapat pengimport serta ejen Kastam yang telah membuat pengikraran tanpa mematuhi Perintah Tetap Kastam sedia ada,” katanya.

Tambahnya, Siasatan itu dijalankan berdasarkan kepada aduan yang diterima mengikut subseksyen 27(4) Akta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan 2009 [Akta 700]. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast