Tuan Ibrahim Tuan Man

KUALA LUMPUR – Pas menyifatkan gesaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP, Lee Chin Chen supaya polis menghentikan siasatan terhadap ketua pemuda parti itu, Woo Kah Leong berhubung isu karikatur sebagai tindakan melampau dan tidak menghormati proses undang-undang.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, gesaan itu juga seolah-olah DAP mempunyai kuasa untuk menghalang penjawat awam daripada melaksanakan tugas yang telah diamanahkan.

Menurut beliau, alasan karikatur tersebut merupakan bentuk ekspresi seni satira yang menyampaikan kritikan juga adalah satu alasan yang dangkal.

Ini kerana seni tidak seharusnya dicemari dengan mesej berunsur penghinaan, apatah lagi jika ia datang daripada seorang Exco kerajaan terhadap lawan politiknya.

“Sebagai anggota kerajaan, beliau seharusnya membalas hujahan YB Razman (Zakaria) dengan fakta dan penerangan yang berasaskan ilmu, bukan dengan penghinaan peribadi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Chin Chen seperti dilaporkan media menggesa polis menghentikan siasatan terhadap Kah Leong berhubung karikatur yang memaparkan Razman yang juga Ketua Pembangkang Perak sebagai badut selepas dia didakwa membuat kenyataan fitnah.

Terdahulu, Pemangku Ketua Polis Daerah Gerik, Deputi Superintendan Muhammad Firdaus Abdullah mengesahkan telah mengambil rekod Kah Leong berhubung isu terbabit.

Tuan Ibrahim juga menasihatkan Chin Chen yang mana sebagai seorang ADUN, beliau seharusnya menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan.

Katanya, Chin Chen tidak sepatutnya mencampuri urusan siasatan pihak polis kerana sistem negara ini menjunjung pemisahan kuasa antara eksekutif, legislatif dan kehakiman.

“Tindakan YB DAP ini wajar membuka mata rakyat Malaysia untuk menilai dan menolak politik sombong dan angkuh yang dibawa oleh DAP dan Pakatan Harapan,” katanya.

Tambah Tuan Ibrahim, kerajaan hari ini perlu diberi pengajaran supaya tidak lagi meneruskan budaya politik yang tidak matang serta tidak menganggap rakyat Malaysia boleh diperkotak-katikkan sesuka hati.

Jelasnya, rakyat perlu menginsafi impak apabila tersalah memilih kerajaan dan berazam untuk tidak mengulangi kesilapan pada masa akan datang.

“Semakin hari, saya melihat Kerajaan MADANI semakin berkelakuan di luar tatakelola yang baik serta bertentangan dengan prinsip yang mereka sendiri perjuangkan.

“Kerajaan hari ini seolah-olah merasakan bahawa mereka akan kekal berkuasa dan kebal daripada undang-undang,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast