Ahmad Zahid ketika mengadakan pertemuan di London.

KUALA LUMPUR – Malaysia menyatakan komitmen untuk menjadi Hab Pensijilan dan Kecemerlangan TVET ASEAN, terutamanya dalam bidang bernilai tinggi seperti semikonduktor, kenderaan elektrik (EV), industri penerbangan dan tenaga hijau.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, perkara itu dinyatakan oleh beliau ketika mengadakan perbincangan dua hala mengenai peluang kerjasama dengan Menteri Alam Sekitar, Makanan dan Hal Ehwal Luar Bandar United Kingdom (UK), Steve Reed dalam pertemuan mereka di London.

“Saya berkongsi hasrat Malaysia untuk memperluaskan kerjasama dengan institusi akademik dan industri di UK dalam usaha memperkukuh latihan, pensijilan dan kebolehpasaran graduan TVET negara.

“Dalam bidang pembangunan luar bandar pula, saya menyatakan hasrat Malaysia untuk mempelajari pendekatan UK dalam menjadikan kawasan luar bandar sebagai zon pertumbuhan ekonomi yang mampan.

“Kami turut membincangkan tentang aspek pengurusan bencana, pengurusan air bersih dan keperluan teknologi baharu dalam meningkatkan kesiapsiagaan negara terhadap perubahan iklim dunia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Ahmad Zahid, pada masa sama, pertemuaan antara mereka turut menyentuh soal kerjasama dalam tenaga boleh baharu, termasuk merealisasikan pembangunan Grid Kuasa ASEAN dan peluang pelaburan dalam sektor tenaga solar dan tenaga hijau.

Katanya, UK melalui penubuhan syarikat nasional GB Energy menunjukkan komitmen tinggi dalam agenda pembangunan tenaga boleh baharu.

Malaysia ujar beliau, bersedia untuk menjadi rakan kongsi strategik dalam pembangunan sektor berkenaan.

“Saya juga mengetengahkan potensi kewangan Islam seperti sukuk yang mampu menyokong kerjasama dalam pembiayaan iklim dan pembangunan mampan.

“Ini bagi memangkin industri halal global yang menjurus kepada penubuhan Majlis Halal Dunia dan satu logo halal yang seragam bagi memperkukuh keyakinan pengguna antarabangsa terhadap piawaian halal Malaysia,” tambahnya.

Katanya, Malaysia dan UK bersetuju untuk terus memperkukuh hubungan dagangan termasuk menerusi Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) dan kerjasama dalam kalangan sektor swasta (B2B) yang mampu memberikan kelebihan strategik kepada kedua-dua negara.

“Saya percaya pertemuan ini membuka ruang baharu dalam memacu kerjasama Malaysia – UK ke tahap yang lebih strategik, khususnya dalam membina masa depan yang inklusif, mampan dan berdaya tahan,” jelas beliau. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast