KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim hari ini memperkenan pelantikan Tan Sri Muhammad Shahrul Ikram Yaakob sebagai Duta Besar Malaysia yang baharu ke Amerika Syarikat.
Istiadat Pengurniaan Watikah Pelantikan yang berlangsung di Istana Negara turut dihadiri oleh Timbalan Menteri Luar Negeri, Datuk Mohamad Alamin serta Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negeri, Datuk Seri Amran Mohamed Zin.
Muhammad Shahrul Ikram, anak kelahiran Pahang, berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sains (Kepujian) dalam bidang Ekologi dari Universiti Malaya dan pernah mengikuti Program Pengurusan Lanjutan di Harvard Business School, Amerika Syarikat.
Beliau menyertai perkhidmatan awam sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik di Kementerian Luar Negeri pada tahun 1988.
Sepanjang hampir 35 tahun perkhidmatan, beliau pernah menjawat pelbagai jawatan penting termasuk Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negeri (2019–2022), Duta Besar Malaysia ke Qatar, ke Austria serta Wakil Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York.
Antara peranan utama beliau di Wisma Putra termasuklah sebagai Timbalan Ketua Setiausaha Hubungan Dua Hala, Ketua Pengarah Sekretariat Kebangsaan ASEAN-Malaysia ketika Malaysia mempengerusikan ASEAN pada 2015, serta Setiausaha Bahagian Politik Pelbagai Hala.
Muhammad Shahrul Ikram turut mempunyai pengalaman diplomatik luas di perwakilan Malaysia di Vienna, Washington D.C. dan Beijing.
Pelantikan beliau diyakini akan memperkukuh lagi hubungan dua hala antara Malaysia dan Amerika Syarikat. – MalaysiaGazette















