Salah seorang pegawai polis menerima pemakaian pangkat daripada Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman di IPK Pahang hari ini

KUANTAN – Polis Pahang siap siaga memastikan tahap keselamatan Persidangan ASEAN Inter-Parliamentary Assembly (AIPA) Advisory Council On Dangerous Drugs (AIPCODD) 2025 bermula pada 9 Jun sehingga 11 Jun ini berada pada tahap optimum pengenjurannya.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, pihaknya telah melakukan persiapan awal dengan mengenalpasti penugasan anggota bagi aspek keselamatan dan kawalan lalu lintas di lokasi terlibat khususnya di sebuah hotel di pusat bandar.

“Tahap keselamatan terutama di kawasan persidangan akan dipertingkatkan.

“Dalam program tersebut juga delegasi akan membuat lawatan ke Pekan dan Menara Kuantan 188. Jadi kita sentiasa bersedia memastikan tahap keselamatan berada pada tahap yang tinggi.

“Pihak kami masih perlu melihat kepada mesyuarat penyelarasan akhir pada hari esok yang dipengerusikan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Pemakaian Pangkat, Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) dan Serah Terima Tugas Ketua Jabatan Logistik dan Teknologi Pahang di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang (IPK), di sini, hari ini.

Dalam majlis tersebut, seramai 15 pegawai polis telah menerima kenaikan pangkat.

Datuk Seri Yahaya Othman (tengah) bergambar bersama 15 pegawai polis menerima kenaikan pangkat di IPK Pahang hari ini

Sementara itu, Yahaya memberitahu, penutupan jalan sempena AIPCODD 2025 minggu depan hanya akan dilaksanakan mengikut keperluan dan secara berkala agar tidak menjejaskan kelancaran trafik di sekitar kawasan terlibat.

Katanya maklumat lanjut akan dimaklumkan selepas mesyuarat penyelarasan akhir esok. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast