Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Malaysia (PDAM) menggesa kerajaan untuk menangguhkan pelaksanaan Sistem Kawalan Petrol Subsidi (SKPS) sehingga dua isu kritikal yang memberi kesan kepada kelangsungan industri diselesaikan sepenuhnya.

Presidennya, Datuk Khairul Annuar Abdul Aziz berkata, dua isu utama itu adalah margin Mekanisme Penetapan Harga Automatik (APM) dan Kadar Diskaun Kedai (MDR).

Jelas beliau, margin APM yang ditetapkan sejak 2019 tidak mencerminkan kos semasa dan tanpa semakan margin, pengusaha kecil dan sederhana akan mengalami kerugian pada hari pertama SKPS dilaksanakan.

Manakala isu MDR pula melibatkan caj berdasarkan nilai jualan sedangkan komisen penguasaha berdasarkan liter.

Ini menurut Khairul Anuar menyebabkan margin pengusaha terhakis apabila peningkatan harga pam akan meningkatkan MDR tetapi tidak menokok kepada komisen.

Sehubungan itu, PDAM yang dianggotai lebih 4,000 stesen di seluruh negara melaksanakan petisyen industri yang setakat ini berjaya mengumpul lebih 2,300 tandatangan.

Katanya, jumlah itu mewakili lebih 60,000 stesen minyak di Malaysia dan hampir 70 peratus stesen jenama utama.

“Buat pertama kali, petisyen turut disertai oleh pengusaha jenama tempatan seperti Five Petroleum, BuraqOil dan SmartStream.

“Ini merupakan rekod sokongan tertinggi dalam sejarah PDAM dan bukti kukuh bahawa kebimbangan ini adalah menyeluruh dan merentas jenama serta kategori stesen,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Khairul Annuar, PDAM juga telah beberapa kali memohon untuk bertemu Perdana Menteri selaku Menteri Kewangan namun belum diberi peluang.

“Kami percaya bahawa penyelesaian konkrit hanya boleh dicapai melalui kepimpinan langsung Datuk Seri agar kelangsungan industri pengusaha tempatan dan bekalan bahan api kepada rakyat tidak terjejas,” katanya lagi.

Dalam kenyataan media yang sama, Khairul Annuar menafikan dakwaan sebuah pertubuhan yang didakwa mewakili pengusaha bumiputera industri runcit petroleum yang mengatakan kerajaan tidak pernah mengadakan sesi libat urus bersama pengusaha stesen minyak bagi membincangkan isu SKPS.

Jelas beliau, kenyataan itu adalah salah dan mengelirukan orang awam kerana PDAM adalah satu-satunya persatuan yang terlibat secara langsung dan konsisten dalam beberapa siri libat urus rasmi bersama Kementerian Perdagangan dalam Negeri dan Kos Sara Hidup serta Kementerian Kewangan.

Tambahnya, PDAM diberi mandat sebagai badan yang diiktiraf secara rasmi oleh pihak kerajaan sebagai suara utama mewakili pengusaha stesen minyak seluruh negara.

Menurut Khairul Annuar, PDAM bertindak sebagai persatuan payung yang mewakili persatuan pengusaha stesen minyak di seluruh negara meliputi persatuan-persatuan berikut:

  1. Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Petronas Malaysia (PESAMP)
  2. Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Petron Malaysia (PEDAM)
  3. Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Shell Malaysia (SPDAM)
  4. Persatuan P Pengusaha Stesen Minyak BHPetrol Malaysia (BHPDAM)
  5. Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Caltex (CPDA)
  6. Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Perak (PPDA)
  7. Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Shell Sabah (SSPDA
  8. Persatuan Ejen Produk Petroleum Sarawak (SPPAA)

-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast