Antara aksi pelatih lelaki Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 di Lapang Sasar MAWILLA 1 di Tanjung Gelang (Gambar fail)

KUANTAN – Seramai 257 pelatih lelaki Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 di Kem Wataniah 505 seronok apabila menjalani latihan menembak M16 selama dua hari  bermula hari ini.

Pengarah Bahagian Operasi Latihan, Jabatan Latihan Khidmat Negara, Kolonel Mazlizan Shaikh Osman berkata, sesi pertama melibatkan 123 pelatih dari Kompeni Alpha dan Bravo dijalankan di Lapang Sasar MAWILLA 1, di sini.

”Manakala latihan menembak bagi Kompeni Charlie dan Delta dijadualkan pada hari Khamis (esok) menggunakan senjata M16 selepas diberi pembelajaran secara teori sebelum ini.

“Sesi latihan menembak ini melibatkan aplikasi satu  jarak antara 25 meter menggunakan 10 butir peluru dan 100 meter bagi aplikasi kedua bagi pelarasan,” katanya ketika ditemui media hari ini.

Jelasnya pelatih turut didedahkan cara menembak dengan bekalan 20 butir peluru merangkumi empat kedudukan menembak iaitu meniarap, duduk, melutut dan berdiri.

Mengulas lanjut sesi menembak secara amali diadakan berdasarkan reaksi hasil daripada kajian siri PLKN lepas yang mencadangkan latihan praktikal wajar diadakan di luar kem bagi menambah pengalaman peserta.

Tambahnya modul latihan menembak yang sama bagi pelatih PLKN wanita di Kem Wataniah 515 di Kuala Lumpur pula akan dilaksanakan juga mengikut pengurusan di sana.

 Mazlizan turut menegaskan bahawa latihan menembak ini bukan sekadar latihan pengendalian senjata semata-mata, malah merupakan satu bentuk pembentukan jati diri, disiplin dan nilai patriotisme dalam kalangan pelatih.

Program ini selaras dengan matlamat utama PLKN 3.0 untuk melahirkan generasi muda yang berdaya saing, berwibawa, dan bersedia untuk menyumbang kepada keselamatan serta keharmonian negara.

Sementara tu Mazlizan berkata sesi PLKN berjalan lancar sepanjang siri pada kali ini dan peserta juga dijadualkan mempunyai pelbagai aktiviti menjelang Hari Raya Aidiladha nanti. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast