KUALA LUMPUR – Kerajaan digesa menghentikan amalan menggunakan slogan pentadbiran sebagai nama kepada inisiatif kerajaan.
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, rakyat sebelum ini sudah sering melihat pelbagai inisiatif dijenamakan dengan slogan kerajaan semasa.
Menurutnya, dasar itu menimbulkan persoalan berkenaan berapa banyak wang rakyat yang terpaksa dibazirkan apabila slogan kerajaan berubah dan pelabelan tersebut juga perlu diubah.
“Dato Seri Anwar (Ibrahim) dan semua pemimpin hari ini dan pemimpin akan datang jangan jadi narsisis.
“Sifat narsisistik pemimpin hanya akan merugikan wang rakyat kerana kos sebenar akan ditanggung oleh rakyat.
“Adalah lebih baik penjenamaan yang lestari dan nama yang tidak berubah walaupun pentadbiran bertukar digunakan untuk projek-projek diusahakan oleh kerajaan,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.
Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkongsi mengenai konsep Kota Madani yang menekankan kemudahan asas yang menyeluruh dan berpusat demi kebajikan rakyat.
Kota Madani dengan keluasan 41.28 hektar itu bakal menempatkan 10,000 unit kuarters kediaman untuk lebih 30,000 penduduk dan dibina secara vertikal berintensiti tinggi.
Sementara itu, Wan Saiful yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor berkata, wang kerajaan yang digunakan dalam penjenamaan semula tersebut bukan milik individu atau pemimpin tertentu.
Sebaliknya, kata beliau, ia milik rakyat termasuk mereka yang tidak menyokong pemimpin atau parti politik tertentu.
Sehubungan itu, jelasnya, apabila wang rakyat dibelanjakan, ia mesti mencerminkan pemilikan merentasi fahaman politik.
“Saya tahu kerajaan akan guna skrip biasa mereka iaitu “perkara tu kerajaan dulu pun dah buat”.
“Sebagai jawapan awal, saya mahu katakan bahawa apa guna jadi pemimpin jika perkara salah amalan terdahulu mahu diteruskan?” katanya. – MalaysiaGazette
















