Menteri Digital, Gobind Singh Deo melakukan gimik perasmian Majlis Smart City Expo Kuala Lumpur 100 Days Launch #RoadtoSCEKL25 ketika di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 04 JUN 2025.

KUALA LUMPUR – Malaysia bakal mencipta sejarah apabila menjadi tuan rumah kepada edisi pertama Smart City Expo Asia Tenggara yang dijadual berlangsung dari 17 hingga 19 September 2025 di sini.

Acara bertaraf antarabangsa dikenali Smart City Expo Kuala Lumpur 2025 (SCEKL25) merupakan adaptasi pertama di rantau ini daripada kongres terkemuka dunia, Smart City Expo World Congress Barcelona sebelum ini.

Menurut Menteri Digital, Gobind Singh Deo, penganjuran SCEKL25 merupakan lonjakan besar dalam aspirasi Malaysia untuk menjadi hab digital serantau dan pemimpin utama dalam pembangunan bandar pintar.

“SCEKL25 melambangkan langkah berani Malaysia dalam membentuk masa depan inovasi bandar.

“Ini menjadi platform penting untuk perbincangan transformatif mengenai peranan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI) dalam membentuk bandar pintar yang inklusif, lestari dan pintar di seluruh ASEAN,” katanya ketika melancarkan Majlis Smart City Expo Kuala Lumpur 100 Days Launch, di sini, hari ini.

Kata Gobind, bertemakan ‘AI Cities: Shaping Our Digital Future’ ekspo ini akan mengumpulkan pemimpin global, pelabur, inovator teknologi dan pembuat dasar untuk meneroka bagaimana AI serta teknologi baharu mengubah landskap kehidupan bandar.

Ia turut memperkukuh hasrat negara untuk mencapai status Smart Nation menjelang 2040 seperti digariskan dalam Rancangan Fizikal Negara Keempat (RFN4).

“Empat tonggak utama yang menjadi asas kepada SCEKL25 ialah Bandar AI, Bandar Lestari dan Tahan Uji, Keusahawanan Digital dan Pembangunan Ekonomi, serta Pemberdayaan Komuniti melalui Penyelesaian Digital.

“Inisiatif ini mencerminkan komitmen negara dalam membina bandar masa depan yang berdaya tahan, pintar dan didorong oleh AI di mana teknologi memacu perubahan positif dalam kehidupan rakyat,” ujarnya.

Katanya, dengan Malaysia memegang jawatan Pengerusi ASEAN tahun ini, SCEKL25 dijangka memainkan peranan penting dalam menyokong Pelan Induk ASEAN mengenai Ketersambungan 2025, di samping merapatkan hubungan fizikal, institusi dan rakyat di seluruh rantau ini.

Ekspo ini dijangka menarik lebih 2,000 delegasi dan 10,000 pengunjung, termasuk penyertaan antarabangsa, sekali gus merangsang perdagangan, pelaburan langsung asing (FDI) dan kerjasama rentas sempadan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Digital Nasional Berhad (DNB), Datuk Azman Ismail berkata, pihaknya berbangga memainkan peranan penting dalam menyokong aspirasi ini menerusi infrastruktur 5G nasional.

“Sambungan generasi baharu ini menjadi tulang belakang kepada sistem pintar, data masa nyata dan penyelesaian bandar lestari, inilah asas kepada bandar masa depan,” ujarnya.

Antara rakan strategik utama yang diumumkan termasuk Dell Technologies dan Intel (Rakan Berlian), Huawei (Rakan Inovasi Rasmi), serta Ericsson (Rakan Emas).

Turut serta sebagai rakan strategik ialah MIGHT, Malaysia Smart Cities Alliance (MSCA), Smart Cities Network, dan Malaysia PropTech Association yang membuktikan kesepaduan industri dalam memperkukuh inovasi bandar pintar di peringkat nasional dan ASEAN. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast