Fatimah Seman

TANGKAK – “Dia (menantu) sebelum ini pun dah lama tak tegur mak cik dan tak benarkan anak jumpa mak cik, pak cik, adik beradik serta saudara mara lain.

“Hari dia nak kena bunuh itu, petang itu dia (anak) panggil (hubungi), saya datang minta datang ke ramp (tempat kerja timbang sawit) untuk ambil beras yang dibeli dari Thailand dan masa itu makcik ingat dia baik-baik sahaja,”.

Itu diceritakan Fatimah Seman, 67, ibu kepada wanita yang mati dipercayai dikelar suaminya di rumah mereka di Taman Cahaya, Sungai Mati, Bukit Gambir, di sini, kira-kira pukul 4.15 petang Isnin lalu.

Fatimah Seman tidak dapat menahan sebak ketika ditemui pemberita

Menurut warga emas itu, kali terakhir dia berjumpa anak kedua daripada empat beradik itu adalah tiga hari sebelum kejadian, iaitu Jumaat lalu.

“Cuma sebulan lepas, hati seorang mak ini, mak cik ada ‘rasa’ anak aku akan mati.

“Sehinggalah pada malam kejadian (anak dibunuh) mak cik beritahu suami menantu akan hantar ‘sesuatu’,” katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya Kampung Pengkalan Kota, Durian Chondong di sini hari ini.

Bercerita lanjut Fatimah berkata, gesa hatinya tepat apabila sekitar pukul 4 pagi semalam menantunya itu dipercayai telah membakar empat buah kenderaan milik keluarga yang diletakkan di hadapan rumah.

“Pada masa sama, saya pelik kerana langsung tidak dapat menghubungi anak dan memberitahu pihak berkuasa yang datang ke rumah kira-kira pukul 11 pagi untuk menyiasat kebakaran mengenai kehilangan anak,”tambahnya.


Fatimah ditemui pemberita di rumahnya Kampung Pengkalan Kota, Durian Chondong, Tangkak, hari ini.

Semalam, media melaporkan seorang wanita berusia 30-an mati dipercayai dikelar suaminya di rumah mereka Isnin lalu, namun kejadian tragis itu hanya terbongkar pagi semalam.

Dalam kejadian tersebut, suspek yang berusia 30-an juga cuba membakar rumah ibu mentuanya yang terletak kira-kira 40 kilometer dari kediamannya.

Tindakan suspek itu bagaimanapun tidak berjaya dan hanya sempat membakar beberapa kenderaan yang berada di bahagian luar rumah.

Suspek berjaya diberkas polis selepas pulang ke kediamannya di Bukit Gambir kira-kira pukul 7 pagi semalam.

Majistret Lee Kim Keat hari ini membenarkan suspek direman selama tujuh hari sehingga 10 Jun ini bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan Seksyen 435 Kanun sama.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintendan Roslan Mohd Talib ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan kenyataan akhbar akan dikeluarkan dalam masa terdekat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast